Khamis, 27 September 2012

BN – autokrat berbulu demokrat.

 Oleh – Edry Faizal



SUARAM bukanlah mangsa pertama. Sebelum ini BERSIH 2.0, yang merupakan gabungan lembaga swadaya masyarakat (NGO) yang memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil turut menerima nasib serupa. Diserang bertubi-tubi sebagai pertubuhan haram dan tidak berdaftar, menerima dana asing, diserap pengaruh komunis dan pelbagai tuduhan. Syukur serangan tidak berlarutan sehingga menuduh BERSIH 2.0 mempunyai jaringan dengan makhluk Marikh untuk menakluk bumi.

Kini SUARAM pula berdepan serangan yang hampir sama. Pertuduhan yang tidak jauh beza dan lebih tertumpu kepada hal-hal teknikal. Rakyat dapat melihat bagaimana Menteri dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Ismail Sabri Yaakob cuba mengganggu dan mempengaruhi siasatan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Disambut serangan demi serangan daripada media yang dikuasai pemerintah. Menumpukan pada isu dana asing dengan tujuan untuk mencemar wibawa NGO ini.

Serangan yang lebih dasyat dijangkakan apabila News Straits Time mencanangkan bahawa dana-dana asing disuntik kepada beberapa NGO bagi tujuan menggoyah kerajaan UMNO BN. Tentu sekali ia cubaan awal mengolah persepsi dan menghantar isyarat bahawa gendang kempen mengganyang NGO-NGO yang kritis terhadap pemerintah sudah dipalu.

Kestabilan Parti Pemerintah

Tentu UMNO BN tidak berminat dengan SUARAM sekiranya aktiviti mereka adalah menghasilkan bendera Malaysia menggunakan tempe. Bagi yang sering mengikuti saluran berita-berita alternatif pasti mengetahui akan usaha SUARAM menjejak dan membongkar skandal Scorpene hingga ke negara Perancis.

SUARAM dalam kempennya telah cuba mendedahkan korupsi bernilai berbilion-bilion ringgit dalam pembelian kapal selam dan penjual rahsia negara kepada syarikat Perancis. Dan cubaan ini turut berkemungkinan membuka semula kes pembunuhan seorang model Mongolia yang mempunyai kaitan dengan urusan pembelian itu.

Sebagaimana Bersih 2.0, semua aktiviti yang dijalankan memberi ancaman, tetapi persoalannya kepada siapa? Apakah negara rugi besar sekiranya korupsi-korupsi didedahkan?

Bukan kestabilan kerajaan Malaysia yang digugat oleh aktivisme sedemikian, tetapi kestabilan parti yang memerintah. Pemerintah kelihatan sudah mula rimas dengan NGO-NGO yang kritis terhadap mereka. Ini tidaklah menghairankan memandangkan pemerintah sendiri dengan bongkak memandang parti pembangkang sebagai musuh negara dan lupa terus dengan peranan semak dan imbang yang dimainkan mereka. Kini muncul pula NGO-NGO melakukan semak dan imbang dengan lebih agresif, tentu bertambah menyesakkan dada.

COINTELPRO

Tindakan pemerintah ke atas SUARAM diikuti gembar-gembur media kawalan mereka memberi gambaran telah bermulanya program COINTELPRO terang-terangan terhadap NGO-NGO.

Pernah di Amerika Syarikat, COINTELPRO atau Counterintelligence digunakan untuk menghancurkan gerakan-gerakan progresif rakyat. Pertubuhan-pertubuhan haluan kiri, nasionalis kulit hitam, pejuang-pejuang anti-perperangan dan sesiapa sahaja yang tidak  sehaluan dengan kerajaan menjadi mangsa program ini.

Antara perkara yang dilakukan termasuklah pengawasan elektronik, pemalsuan dokumen, menyebarkan maklumat-maklumat palsu, mereka-reka bukti, penahanan bagi tujuan menakut-nakutkan, propaganda hitam dan banyak lagi.

Mathieu Deflem di dalam Surveillance and Governance: Crime Control and Beyond telah mendedahkan perkara-perkara yang ingin dicapai melalui program COINTELPRO dan antaranya adalah mencipta imej buruk sasaran di mata awam.

Maka tidak mustahil apabila perkara yang paling dicanang-canang adalah isu dana asing. Ini kerana ia mudah untuk mengolah sentimen bahawa terdapat pihak luar mahu campur tangan dalam urusan negara.
Mengambil kesempatan terhadap salah tanggapan bahawa penerima dana adalah askar upahan yang dicucuk hidungnya.

Melupakan terus bahawa pembangunan Malaysia sendiri bergantung kepada dana asing dan dasar Malaysia kini banyak membuka pintu buat pelabur asing. Menyembunyikan terus bahawa prosedur mendapatkan dana ini sama sahaja dengan mana-mana prosedur untuk mendapatkan dana bagi penyelidikan-penyelidikan terutamanya dalam institusi-institusi pendidikan.

Berhenti Membuli

Ketika Perdana Menteri masih berangan-angan menjadikan Malaysia ‘demokrasi terbaik dunia’, aktor-aktor di dalam kerajaan pula sedang berusaha mencari hujah-hujah teknikal untuk membenam NGO-NGO yang tidak sehaluan. Mengorek apa sahaja yang mampu dijadikan senjata untuk merosakkan imej dan seterusnya wibawa NGO-NGO yang melakukan semak dan imbang, memberikan input dan kritik ke atas dasar-dasar.

Gerakan masyarakat sivil mempunyai fungsi dan sumbangan yang tersendiri dalam memperkukuh demokrasi. Tetapi sekiranya pemerintah hanya berminat memberikan layanan penuh kasih sayang pada NGO-NGO yang senada dengannya. Maka bolehlah peribahasa lama diberi nafas baru dan ditujukan kepada pemerintah, “Autokrat berbulu demokrat.”-roketkini.com

Tiada ulasan: