Sabtu, 29 September 2012

Bajet 2013: Rayuan Najib, sindirian Anwar

Wartawan Sinar Harian

Parlimen Bajet 2013
Ahli-ahli Parlimen pembangkang mengangkat laporan Bajet Pakatan Rakyat 2013 sebaik tamatnya pembentangan belanjawan oleh Najib Tun Abdul Razak petang tadi. - Foto Bernama
 
Najib

KUALA LUMPUR - Sementara Datuk Seri Najib Tun Razak mengakhiri ucapan Bajet 2013 dengan menegaskan masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa pembentangan bajet kali ini oleh Perdana Menteri adalah untuk menaikkan popularitinya.

Anwar berkata, pembentangan bajet itu hanya memberi kekayaan ekonomi kroninya sahaja.

Katanya, "ya, dekat pilihan raya, isu untuk menjadikannya (bajet) populariti itu betul, kalau kecil-kecil tak mengapa."

"Tapi Najib perlu menyatakan isu-isu berkaitan harga barang keperluan dan perkhidmatan (GST) perlu difokuskan bukannya dengan hanya memberi insentif," katanya kepada pemberita di luar bangunan Parlimen petang ini.

Sebelum ini, ramai pihak termasuklah pemimpin PR mengatakan Najib akan menggunakan Bajet 2013 sebagai menaikkan kembali popularitinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini pernah berkata, bajet yang akan dibentangkan Najib hari ini akan menjadikannya sebagai platform untuk meraih kembali popularitinya.

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, kemungkinan trend semasa akan naik semula memandangkan Najib akan mengumumkan Bajet 2013 hari ini.

Justeru, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, bajet yang dibentangkan Najib bersifat gimik politik dan bukan untuk rakyat.

Tambahnya, pembentangan bajet tersebut hanya mengetengahkan ekonomi negara yang kukuh tetapi tidak menekankan cara untuk meningkatkan pendapatan negara.

Dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka sambil menggesa rakyat memberikan mandate kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.

Perdana Menteri berkata persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan sama ada hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi.

"Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada," katanya ketika membentangkan Bajet 2013 berjumlah RM251.6 bilion di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib yang mengumumkan bahawa Bajet 2013 sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, berkata ia merupakan antara siri-siri belanjawan yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.

"Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata, hakikat rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan BN sebanyak 12 kali tanpa putus sejak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada.

"Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak,  namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi," kata beliau.

Sambil memetik madah pujangga, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak, Najib turut mengakui bahawa kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan tetapi yang membezakan BN dengan pakatan pembangkang ialah mereka tidak mempunyai ketawadu'an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

Najib berkata, pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka.

"Kerana mereka bukan tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai kerajaan.

"Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila kerajaan berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan.

"Hakikatnya, jika kita berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang," katanya.

"Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya?" kata beliau.

Katanya jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

"Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segala-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana."

Najib berkata, kerajaan BN juga pada hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala kepada rakyat sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan terhadap segala masalah mereka.

Memetik kata-kata seorang ahli falsafah Yunani "The measure of a man is what he does with power" Najib berkata justeru pada hari ini, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa,  sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa.

Katanya, kerajaan BN dibimbing prinsip "fastabiqul khairat" seperti yang terkandung dalam ayat al-Quran yang dibacanya di awal ucapannya, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Beliau turut membidas sikap pihak tertentu yang mencadangkan supaya keseluruhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang amat tidak  bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, rakyat Malaysialah yang akan terbeban menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN.

Katanya, pada hakikatnya kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian dan kerajaan  difitnah serta dituduh semahunya.

"Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina  sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati  dan yang berbakat digilap.

"Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya  dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian.

Kepada ALLAH kita berserah," katanya mengakhiri ucapan pembentangan Bajet 2013 itu.

Tiada ulasan: