Ahad, 30 September 2012

Belanjawan Pakatan Rakyat: Royalti petroleum naik 20 peratus

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Negeri-negeri pengeluar petroleum dan gas seperti Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu bakal mendapatkan semula hak royalti 20 peratus mereka ke atas pengeluaran hasil tersebut apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Cadangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 itu secara langsung akan mengeluarkan negeri-negeri tersebut dari kemelut kemiskinan yang melanda disebabkan pentadbiran Barisan Nasional yang memonopoli hasil dan hak negeri keatas sumber asli mereka.

“Pemberian 20 peratus royalti ini merupakan dasar yang dipersetujui Pakatan Rakyat”,ujar Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke.

Menurutnya, ia sememangnya merupakan hak negeri yang perlu dikembalikan supaya negeri dan rakyat dapat merasai hasil bumi mereka dengan adil.

Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 telah menyatakan bahawa perlaksanaan pemberian 20 peratus royalti petroleum dan gas keatas negeri-negeri pengeluar tersebut akan menghasilkan tambahan pendapatan RM12.5 billion ketas negeri.

Cadangan belanjawan ini adalah selaras dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memberi hak kepada negeri pengeluar untuk menerima bayaran dalam bentuk royalti dari hasil tersebut yang selama ini telah dikhianati Barisan Nasional.

Tambah Loke, pemberian 20 peratus royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak tersebut secara langsung akan meningkatkan ekonomi negeri.

“Jika kita lihat, negeri-negeri pengeluar minyak ini boleh dikategorikan sebagai negeri yang mundur berbanding negeri lain, terutamanya Sabah dan Sarawak?

Memberikan contoh yang berlaku di Sabah, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata apa yang berlaku merupakan contoh bagaimana hak dan hasil negeri telah dirompak secara bersistematik oleh Kerajaan BN menjadikan negeri yang pernah setanding Singapura satu ketika dulu kini dilaporkan sebagai negeri termiskin di Malaysia.

“Mereka sepatutnya mendapat pulangan yang lebih baik kerana ia akan menjana ekonomi negeri itu sendiri termasuklah dari segi pembangunan infrastruktur yang lebih baik dan sebagainya.” ujar beliau.

Selain pemberian royalti 20 peratus, Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan memberi fokus kepada penubuhan syarikat-syarikat petroleum dan gas milik negeri.

Baru-baru ini, cadangan pemberian royalti 20 peratus keatas negeri-negeri pengeluar petroleum dan gas oleh Pakatan Rakyat sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan Raya Umum ke 13 ini telah menarik perhatian pelbagai pihak dan menimbulkan perbincangan hangat.

Dengan mendapat royalti 20 peratus berbanding 5 peratus yang diberikan BN sekarang, negeri-negeri pengeluar akan mempunyai sumber pendapatan yang lebih tinggi seterusnya mampu membuka lebih banyak manfaat kepada rakyat. – Roketkini.com

Tiada ulasan: