Jumaat, 28 September 2012

Mahkamah benar kes Mohamad Sabu digantung

Harakahdaily,
PULAU PINANG: Mahkamah Sesyen Pulau Pinang membenarkan permohonan Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu agar kes pendakwaan ke atasnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Ini ekoran bantahan yang dibuat oleh beliau melalui peguamnya  berikutan tindakan Pendakwaraya yang hanya mendakwa beliau tetapi tidak mendakwa akhbar Utusan Malaysia yang juga membuat kesalahan yang sama.

Mohamad Sabu didakwa ekoran ceramahnya mengenai kes Bukit Kepong.

Perbicaraan sebelum ini mendedahkan, saksi utama pendakwa iaitu orang yang membuat laporan polis terhadap Mohamad Sabu mengaku dia tidak mendengar ceramah Mohamad Sabu.

Dia mengaku membuat laporan polis berdasarkan laporan Utusan.

Ekoran itu, beliau meminta mahkamah menggugurkan dakwaan ke atas Mohamad.

Peguam Mohamad Hanipa Maidin hari ini memohon Mahkamah Sesyen menggantung perbicaraan hari ini kerana pihaknya ingin memohon kepada Mahkamah Tinggi agar mempertimbangkan persolan kenapa Utusan tidak didakwa dalam kes ini.

Ini kerana menurut Seksyen 501 Kanun Keseksaan, mana-mana akhbar yang menerbitkan berita fitnah boleh didakwa.

Jelas hanya Mohamad Sabu didakwa tetapi akhbar Umno itu tidak didakwa.

Hanipa memohon agar Mahkamah Sesyen membenarkan perkara ini dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana hanya mahkamah itu yang berkuasa untuk menilai hal ini di bawah Seksyen 30 (1) Akta Mahkamah Kehakiman.

Ekoran itu, Hakim Ikmal Hishan setuju dengan permohonan dan tarikh 16 Oktober ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Selain Hanipa, Mohamad Sabu diwakili oleh Aminudin Zulkifli dan Nashar Khan.

Pendakwaraya pula dibuat oleh Tuan Yusaini Amir dan Tuan Suhaimi.

Tiada ulasan: