Ahad, 30 September 2012

10 orang muncul di KLCC untuk Hari Leher-V

Zulaikha Zulkifli

 
 Seramai 10 orang aktivis hadir untuk sambutan Hari Leher-V di satu kawasan taman Kuala Lumpur City Center (KLCC) hari ini namun ia tidak berlangsung lama apabila pihak keselamatan muncul petang ini.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.45 petang itu, dua orang pengawal keselamatan Suria KLCC mendekati petugas Malaysiakini dan wakil AFP yang membuat liputan pertemuan tersebut dan melarang daripada membuat rakaman video.

Pengawal keselamatan itu kemudiannya membawa dua daripada 10 orang wakil aktivis berkenaan dengan membonceng motosikal ke satu lokasi, didakwa untuk menemui penyelia mereka.

Adam Sharisman, 19, kemudiannya kembali menyertai aktivis lain selang 15 minit kemudian bersama seorang rakannya yang enggan dinamakan.

Petugas media menemubual aktivis berkenaan dengan pengawasan pengawal tersebut.

Dalam pertemuan singkat bersama penyelia keselamatan tersebut, Adam berkata beliau diberitahu bahawa petugas media perlu memohon permit untuk membuat rakaman video.

"Untuk merakam video kamu perlu memohon permit. Itu pihak pengurusan beritahu masa kami jumpa dia," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Menurutnya lagi, beliau juga diberitahu bahawa taman KLCC merupakan harta persendirian dibawah pengurusan KLCC dan bukan tempat awam.

Jelasnya, beliau menyertai perhimpunan hari ini untuk memberi kesedaran bahawa tindakan diskriminasi terhadap individu gay adalah perkara yang tidak wajar.

"Saya buat (perhimpunan) ini kerana betapa teruknya diskriminasi ini (dalam) masyarakat. Saya ada beberapa kawan yang sebahagian daripada LGBT. Kita sepatutnya menunjukkan sokongan pada mereka.

"Dan saya buat perjumpaan hari ini lebih kepada suka-suka, bukan untuk menentang kerajaan," katanya lagi.

Seorang lagi peserta lagi, Amri Abu, 28, berkata beliau hadir pada petang ini bagi membantah stereotaip  ke atas golongan gay – seperti memakai baju leher-V.

Menurut Amri, pendedahan garis panduan tersebut seperti membenarkan masyarakat dan kanak-kanak untuk membuli golongan LGBT, katanya.

"Semua orang adalah sama. Garis panduan itu seperti memberi kebenaran untuk masyarakat dan kanak-kanak menggalakkan buli. Saya tak rasa ia wajar," katanya.

Kumpulan berkenaan bersurai pada kira-kira jam 6.15 petang.

Portal antarabangsa pergerakan LGBT Gay Star News pada 17 September melaporkan, Hari Leher-V kebangsaan diadakan hari ini sebagai respons terhadap dakwaan kerajaan menyokong garis panduan untuk mengenalpasti golongan itu.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi dalam kenyataan pada hari Khamis lalu berpendapat penganjuran Hari Leher-V itu sebagai cubaan mempersendakan kerajaan.

Pada 13 September lalu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan menteri pelajaran menyokong "garis panduan" kepada ibu bapa untuk mengenalpasti "simptom" gay dan lesbian pada anak mereka bagi mengambil langkah membetulkan keadaan.

Antara simptom itu, menurut harian berbahasa Cina itu, mempunyai badan sasa, suka menunjukkan aset di badan, memakai baju dengan leher-V.

Tiada ulasan: