KELAB GREENBOC
Bagi saya kecantikan sebenar seorang Mukmin adalah ketaatan pada Allah. Jika seseorang mentaati Allah dengan mengerjakan perintahnya dan menjauhi larangannya, maka seseorang itu akan terlihat cantik di mata manusia,” begitulah antara pandangan yang dilemparkan oleh Oki Setiana Dewi ketika ditanya mengenai keindahan dan kecantikan seorang Muslim. Beliau ditemui semasa kunjungan khusus ke pejabat editorial majalah i, Kumpulan Media Karangkraf.
Menurutnya lagi, ramai yang menilai ‘kecantikan’ itu dengan berdasarkan kepada sifat fizikal seseorang. Kita selalu terlepas pandang kepada kecantikan yang tidak mampu untuk dilihat, iaitu sifat yang lahir dari dalam diri, yang mampu untuk mendorong seseorang ke arah kebaikan.
“Tidak semua insan yang cantik pada sifat luarannya, mampu untuk memiliki kecantikan pada sifat dalamannya juga. Kadang kala mereka hanya cantik pada luarannya tetapi memiliki akhlak yang tidak elok.
“Jika ingin dibandingkan antara kecantikan luaran dan kecantikan dalaman, adalah lebih baik jika kita memiliki kecantikan pada sifat dalaman kerana ia akan kekal lama selamanya,”jelasnya.
Bagaimanapun Oki juga tidak menolak bahawa kecantikan luaran juga amat penting. Katanya mementingkan kecantikan dalaman tidak bermakna mengabaikan kecantikan luaran seperti kebersihan diri dan pakaian kerana Rasulullah s.a.w ada mengingatkan umatnya supaya mengambil berat terhadap penampilan diri yang bersih dan menyenangkan mata memandang.
“Innallah jamil, wa yuhibbu jamal yang bermaksud ‘Allah itu indah, dan sukakan keindahan’. Setiap manusia harus senantiasa menjaga kebersihan dan keindahan dirinya. Berbusana yang baik dan sopan, menjaga kebersihan sehingga kecantikan yang berada di dalam pun akan semakin terpancar.
“Orang mengatakan 70 peratus kesan pertama akan diperoleh seseorang ketika melihat penampilan orang lain. Untuk itu alangkah baiknya jika seseorang itu menjaga penampilannya agar terlihat baik dan menyenangkan. Sehingga orang pun akan senang bercakap dan berinteraksi dengannya. Pakailah pakaian yang sopan dan menutup aurat, kerana itu lambang pakaian takwa yang dianjurkan agama, dan bersikaplah yang baik kepada sesama insan,” pesannya pada hadirin semasa majlis sidang media di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf.
Pandangan Oki jelas memperlihatkan bahawa beliau amat menitikberatkan aspek kecantikan luaran dan dalaman dalam diri. Sepertimana yang diperkatakannya seperti itulah juga keadaan dirinya.
Petang itu busananya nampak sopan. Walaupun hanya berjubah dan bertudung labuh, tetapi jelas terpancar sinar keindahan pada penampilannya. Malah beliau berulang kali menegaskan bahawa pakai tudung dan menutup aurat tidak menghalang seseorang untuk mencapai kejayaan.
Dakwah Melalui Lakonan
Nama Oki Setiana Dewi tidak asing di kalangan remaja Muslimah di Malaysia terutamanya bagi mereka yang meminati filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Lakonannya sebagai ‘Ana athaful nisa’ seorang Muslimah yang solehah, betul-betul telah memberikan impak yang sangat besar kepada penonton, terutamanya kepada golongan remaja Islam. Sehingga kini ramai yang telah menjadikan dirinya sebagai ikon dan ada yang memanggilnya dengan panggilan ‘Ana’ sebagaimana nama yang beliau lakonkan dalam filem KCB.
Ditanya kesan atas kunjungan kali pertamanya ke Kuala Lumpur, Oki tidak menafikan beliau berasa janggal sehingga pernah melarikan diri tatkala peminat sibuk ingin merakam gambarnya. Namun beberapa hari selepas itu dirinya mula terbiasa dengan keadaan itu.
Walaupun usianya masih muda, semangat Oki di dalam meningkatkan pencapaian diri cukup memberikan inspirasi. Jelasnya kini beliau tengah mempersiapkan dirinya untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana (Master) setelah menamatkan Ijazah Sarjana Mudanya. Bukan itu sahaja, kegiatannya seharian juga banyak dihabiskan untuk belajar dan mengajar.
“Saya saat ini banyak mengisi acara seperti bedah buku, kajian tentang wanita Islam, seminar-seminar motivasi, baik dalam mahupun di luar negera. Saya juga sedang mengikuti program hafalan al-Quran dan tengah menyiapkan penulisan buku saya yang ke-empat,” jelas Oki yang juga sering melawat ke penjara untuk memberi motivasi serta berdakwah kepada warga banduan dalam penjara.
Sebagai seorang pendidik, penulis buku dan pelajar, minat Oki terhadap dunia lakonan masih belum padam. Katanya, dia masih minat untuk berlakon tetapi mengakui agak selektif kerana hanya menerima tawaran daripada filem mahupun drama yang mempunyai unsur mendidik.
Memutar semula penglibatannya di dalam filem ketika Cinta Bertasbih (KCB), ujarnya ia adalah merupakan satu hikmah yang terbesar buat dirinya. Pembabitan beliau di dalam filem berkenaan bukan sebagai pelakon semata-mata tetapi juga merupakan satu proses pembelajaran untuk lebih memperbaiki diri.
“Saya sangat bersyukur sekali ketika mendapatkan peluang untuk berlakon sebagai Ana dalam filem Ketika Cinta Bertasbih. Syukur alhamdulillahlah, dengan lakonan itu, membawa saya ke arah yang lebih baik.
“Saya diberi kesempatan oleh Allah untuk berada dalam satu komuniti yang baik, berlakon dalam adegan-adegan yang baik. KCB telah membuat saya tahu lebih banyak tentang agama Allah dan lebih dekat dengan-Nya. Saya juga memperoleh banyak ilmu, mulai dari bagaimana menjalankan peranan dan berlakon dengan baik, sehingga berpeluang mendalami ilmu-ilmu agama yang belum pernah saya diketahui sebelumnya,” kongsinya
Memulakan Karya Penulisan
Sebagai seorang ikon Muslimah, Oki sentiasa memikirkan jalan yang terbaik untuk dirinya melakukan usaha dakwah terutamanya kepada remaja yang kini dilihat lebih cenderung untuk ke arah hiburan berbanding program agama. Sebab itu Ok menceburkan diri dalam dunia penulisan.
“Dengan menulis saya cuba untuk menyentuh sanubari kawan-kawan remaja yang berjiwa muda khususnya, untuk lebih mengenal agama dan senantiasa berusaha memperbaiki ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Pada waktu yang sama, saya juga selalu berusaha memperbaiki diri sendiri. Mulai cara berbicara, berpakaian, dan melakukan apa saja. Kerana bagi saya perbuatan adalah lebih efektif dari kata-kata sehingga seseorang itu boleh berubah ke arah yang lebih baik jika melihat contoh yang baik,” jelasnya yang kini baru sahaja melancarkan buku keduanya yang bertajuk ‘Sejuta Pelangi’.
Penulisan buku keduanya itu adalah rentetan daripada kejayaan buku pertamanya yang bertajuk ‘Melukis Pelangi’. Buku tersebut telah pun dicetak balik sebanyak lapan kali. Menurut Oki, jikalau buku pertamanya lebih mengisahkan mengenai dirinya, buku yang keduanya adalah lebih kepada kisah-kisah yang berlaku di sekelilingnya.
Sebelum mengakhiri pertemuan, Oki sempat berpesan kepada remaja Muslim agar sentiasa berjuang sehabis baik menegakkan agama Islam melalui bidang dan potensi masing-masing, selain mengekalkan rasa bangga sebagai seorang Muslimah.
“Bersyukurlah pada Allah atas kurnianya yang luar biasa iaitu menjadi seorang Muslim. Jadilah Muslim yang taat kepada-Nya. Tunjukkanlah identiti kita sebagai Muslim dan Muslimah sejati yang menjadi kebanggaan Islam, Berkaryalah, berprestasilah dan berbuat baiklah kepada sesama. Jadilah pemuda pemudi yang menginspirasi dunia dengan prestasi yang luar biasa.
“Bangkit dan lakukanlah yang terbaik dalam hidup. Tak ada kejayaan yang boleh dicapai melainkan dengan perjuangan, dan semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang senantiasa berada dalam kebenaran,” doa dan harapan Oki Setiana Dewi mengakhiri pertemuan. -majalah i
Tiada ulasan:
Catat Ulasan