Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pembinaan dua jambatan akan diberi keutamaan iaitu jambatan yang menghubungkan Seberang Takir dengan pusat bandar dan jambatan Kampung Losong yang menghubungkan Pulau Sekati dan Teluk Pasu.
"Bagi jambatan Seberang Takir-pusat bandar, kini kerja-kerja reka bentuk peringkat akhir sedang dalam proses untuk disiapkan manakala pengeluaran tender akan dikeluarkan pertengahan tahun depan.
"Bagi jambatan Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu, kerja awal di tapak pembinaan sedang berjalan. kedua-dua jambatan berkenaan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka hari raya Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman di Seberang Takir di sini, hari ini.
Ahmad berkata kerajaan juga memohon kepada kerajaan pusat agar mengutamakan usaha menaik taraf Jambatan Manir dan Jambatan Buluh Gading daripada dua lorong kepada empat lorong.
Selain itu, kerajaan sedang merancang untuk membina jalan pintas dari Tok Adis yang menghubungkan Pusat Bandar Baru Bukit Besar dan keluar di Wakaf Mempelam.
Katanya apabila siap kelak, pengguna boleh terus menghala ke Hulu Terengganu melalui sebelah kiri dan sebelah kanan pula menaiki jambatan baru Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu.
Beliau berkata pengguna jalan raya boleh terus ke utara Terengganu apabila jalan Banggol Tuan Muda yang menghubungkan Kampung Jeram dan Gemuruh siap sepenuhnya.
"Kita harap setelah semua jalan-jalan baru dan jambatan yang dirancang itu siap kelak, masalah kesesakan Bandaraya Warisan Pesisir Air ini akan dapat diatasi," katanya.
Pada majlis rumah terbuka berkenaan, kira-kira 10,000 pengunjung menghadirinya selain turut meraikan 13 atlet Sukan Malaysia dari kawasanSeberang Takir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan