Sabtu, 11 Ogos 2012

Fokus Bajet 2013 kurangkan hutang negara

SINAR HARIAN

Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
 
 
IPOH - Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan hutang negara selain membantu rakyat serta melonjakkan ekonomi negara dalam merangka Bajet 2013.
  
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata hutang negara kini mencapai 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  
"Kita sedang lihat bagaimana kita nak kurangkan hutang negara dan kita mempunyai beberapa kaedah yang sedang kita lihat.
  
"Jika dapat kurangkan hutang bermakna dalam konteks perbelanjaan tetap melibatkan hutang akan dapat dikurangkan," kata beliau kepada pemberita selepas program membeli belah bersama anak-anak yatim di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
  
Beliau berkata kerajaan kini dalam proses menggubal Bajet 2013 yang merangkumi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.
  
"Perbelanjaan pembangunan kita telah tetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Kita menyediakan sebanyak RM49 bilion. Itu sudah tetap. Yang kita sedang olah ialah perbelanjaan mengurus," katanya.
  
Ahmad Husni berkata perbelanjaan mengurus semakin meningkat kerana melibatkan perbelanjaan tetap seperti pembayaran pencen, emolumen dan hutang. 
  
"Kita telah mengadakan draf pertama kita (Bajet 2013) dan kita sedang mengemaskinikannya. Bermakna daripada draf sekarang ini kita akan terus kemas kini sampai kepada peringkat akhir beberapa hari sebelum pembentangan bajet.
  
"Sekarang ini kita sedang tokok tambah input yang kita peroleh kerana kita mahu Bajet 2013 ini dapat melonjak ekonomi kita di samping dapat membantu rakyat," katanya.
  
Bajet 2013 akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini. - Bernama

Tiada ulasan: