Oleh: Masdar Wahid
Ahli Umno- Barisan Nasional diseru meninggalkan segera parti itu ekoran kenyataan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyamakan kerajaan BN seperti syaitan, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.
“Kalau bekas presiden Umno pun mengatakan kerajaan BN adalah syaitan, maka langkah paling tepat ialah segera meninggalkan Umno dan berhijrah kepada Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Muhammad turut memetik ayat al-Qur’an Surah Fathir, ayat 6 yang menyatakan syaitan adalah musuh yang sangat jelas kepada umat manusia.
Ayat berkenaan katanya, bermaksud “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya bermaksud mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka.”
Dalam pada itu, beliau berkata Mahathir sepatutnya berhati-hati dalam membuat kenyataan apabila menyatakan “Malaikat bukan golongan suci kerana turut membuat kesalahan” .
Jelas Muhammad, kenyataan tanpa bersandarkan kepada ilmu itu boleh mengelirukan umat Islam.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari Abdul berpendapat Kenyataan Dr Mahathir menjelaskan sikap jahat pimpinan BN yang terlibat dalam amalan rasuah dan salahguna kuasa.
Ini kerana katanya, pemimpin yang mengamal rasuah memiliki sifat syaitan, justeru rakyat harus menolak mereka pada pilihan raya umum akan datang.
“Pertama, kita ucap ‘terima kasih’ atas pengakuan ikhlas Tun itu kerana akhirnya beliau mengakui jua dan menyamakan Umno BN dengan ‘syaitan’.
“Syaitan ini kita semua maklum sebagai makhluk jahat, zalim, penindas dan gemar merosak keharmonian manusia.
“Maka kalau sudah begitu, rakyat wajar tolak setiap calon berlambangkan Umno BN dalam pilihan raya,” katanya.
Mengulas lanjut, Johari berkata secara tidak langsung Mahathir mengakui kebaikan Pakatan Rakyat, apabila membuat ungkapan “lebih baik mengundi syaitan yang anda kenal, berbanding malaikat yang anda tidak kenal’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan