Jumaat, 12 Ogos 2011

Umno Kedah harap daftar semua pemilih pada Sept

BERNAMA


Pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mahu parti tersebut menyelesaikan proses pendaftaran pemilih baru di negeri itu selewat-lewatnya bulan depan.

Pada masa ini, katanya, masih ramai individu yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih dan usaha harus dipergiatkan.

Berucap di majlis sumbangan moreh kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Parlimen Alor Setar, hari ini, Ahmad Bashah juga mahu sistem blok yang diperkenalkan di negeri itu baru-baru ini, diperkemaskan.

"Di bawah sistem ini, seorang ketua blok yang perlu menjaga 20 rumah perlu melihat dan mendapatkan segala maklumat tentang isi rumah di bawah jagaannya serta menjaga kebajikan dan keperluan mereka.

"Sejauhmana pendekatan mereka dengan pengundi itulah yang akan menentukan kemenangan parti dan bila sampai hari mengundi pastikan mereka semua keluar mengundi," katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan anggota parti agar tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan nama baik Umno.

"Jangan buat sesuatu yang boleh keruhkan keadaan parti sebab pilihan raya akan datang lebih mencabar dan kita kena lipat gandakan gerak kerja sebab pembangkang pun dah mula bergerak bersungguh-sungguh.

"Dalam bulan puasa ini program mungkin kurang, tapi lepas puasa program kita tidak akan berhenti sehingga tiba pilihan raya dan kita kena bergerak secara lebih tersusun," katanya.


Tiada ulasan: