Khamis, 25 Ogos 2011

UIAM ketat kemasukan pelajar asing, elak salah guna visa

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengawal ketat jumlah pengambilan pelajar antarabangsa ke negara ini bagi mengelak berlakunya kes penyalahgunaan visa di kalangan para pelajar.

Rektor UIAM Datuk Dr Zaleha Kamruddin berkata polisi universiti tersebut bukan mementingkan jumlah pelajar ataupun kuantiti, tetapi kualiti yang dipamerkan oleh pelajar yang terpilih untuk belajar di universiti tersebut.

“Walaupun kita tetapkan jumlah 30 peratus pelajar antarabangsa bagi program pascaijazah dan ijazah pertama, pemilihan pelajar sangat terperinci kerana kita tidak mahu pelajar-pelajar tersebut mendaftar di universiti ini, tetapi pada masa yang sama melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak berkaitan,” katanya dipetik Bernama Online selepas majlis berbuka puasa semalam.

Zaleha berkata pihak universiti tidak mahu hanya kerana untuk mencapai kuota 30 peratus yang ditetapkan pihak universiti, mereka akhirnya terpaksa menanggung beban risiko lain yang mungkin timbul kelak.

“Oleh itu, pihak dekan universiti akan membuat pemilihan secara mendalam berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Dekan Kemasukan dan Rekod UIAM Penolong Profesor Dr. Shamsul Jamili berkata sebanyak 250 pelajar antarabangsa dijangka mendaftar sebagai pelajar di universiti tersebut September ini di bawah program ijazah.

“Jumlah ini bagaimanapun kurang sebanyak 20 peratus dari tahun sebelumnya disebabkan oleh persaingan di antara universiti lain semenjak tarikh kemasukan universiti tempatan ditukarkan ke bulan Sept,” katanya.

Tiada ulasan: