Selasa, 16 Ogos 2011

PKR dakwa ada bukti BN seludup pengundi


Salhan K Ahmad


Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin hari ini mendakwa, BN sedang "menyeludup pengundi dengan berselindung di sebalik program pemutihan pendatang asing."

Zuraida (bawah, bertudung) mendakwa, beliau mempunyai bukti dan saksi bahawa usaha itu dijalankan melalui program pemutihan 6P yang sedang berjalan.

NONE"Wanita PKR berjaya menyelinap masuk ke dalam program pemutihan ini dan mendapati bahawa pendatang asing dikehendaki bersumpah untuk menyokong Umno dan BN sebagai salah satu daripada syarat proses pemutihan.

"Wanita PKR sempat mengambil skrip sumpah untuk didedahkan kepada orang ramai," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Beliau turut menunjukkan satu helaian kertas yang didakwa mengandungi "skrip" berkenaan, yang antara lainnya menyebut "saya/ suami/ anak-anak, tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/ Barisan Nasional (BN)."

Helaian berkenaan turut diedarkan kepada wartawan dalam sidang media hari ini.

Kumpul sepuluh saksi

Ketika ditanya, Zuraida mendakwa helaian berkenaan merupakan "bukti sahih" kerana "kita masuk ke sana dan ambil bahagian sebagai salam seorang daripada (pendatang asing)."

Jelasnya, beberapa orang "kawan-kawan kita" berjaya memasuki pusat pemutihan yang enggan dipastikan lokasinya itu dan berjaya mendapat salah satu daripada salinan dokumen itu keluar.

NONE"Setakat ini kita ada sepuluh orang saksi. Kita sedang kumpul lebih banyak bukti sebelum kita bawa mereka ke hadapan untuk dedahkan (perbuatan tersebut)," katanya.

Zuraida hanya berkata, PKR sebelum ini membuat pendedahan mengenai kegiatan memberikan kerakyatan kepada pengundi, yang didakwa berlaku di Sepang, Hulu Selangor dan Shah Alam.

"Kita akan dedahkan banyak lagi bukti lebih konkrit," katanya lagi di sidang media yang turut dihadiri dua orang wakil rakyat PKR Selangor -- Elizabeth Wong dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tiada ulasan: