Sabtu, 20 Ogos 2011

PKR: ‘Adakah NCO ATM ini benar-benar perlu?’

FREE MALAYSIA TODAY

Bagaimanapun, parti itu bimbang kerana projek tu dirundingkan secara terus demi kepentingan Sapura.



PETALING JAYA: PKR mendakwa Sapura Secured Technlogies Sdn Bhd sedang berunding dengan Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan projek Network Centric Operations (NCO) bernilai RM2 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia.

Bagaimanapun, parti itu bimbang kerana projek tu dirundingkan secara terus demi kepentingan Sapura selain syarikat itu tidak memiliki kebolehan teknikal untuk melaksanakan projek dan keupayaan mereka untuk memenuhi keperluan dipersoalkan.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendesak Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan menghentikan perbincangan dengan Sapura tentang program NCO ini sehingga inkuiri penuh diadakan sama ada sistem baru ini benar-benar diperlukan.

“Kedua, jika program NCO ini benar-benar dibuktikan perlu, maka kami menggesa Kementerian Pertahanan untuk memilih pihak yang paling layak untuk melaksanakan projek ini menerusi proses tender terbuka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Program NCO bermaksud untuk mengintegrasikan semua apliaksi sistem, pengesan, system arah dan kawal dan persenjataan dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun.

Nik Nazmi berkata, pihak ATM telah pun memiliki sistem yang hampir sama yang dimajukan beberapa tahun yang lalu.

“Apatah lagi, projek ini telah mendapat kritikan yang menyeluruh daripada anggota ATM sendiri, dan keprihatinan mereka tidak diendahkan oleh semua yang mengarahkan projek ini diteruskan,” katanya.

Tiada ulasan: