KUALA TERENGGANU - PAS bersedia menghadapi saman fitnah yang bakal dikemuka Umno berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno berhak berbuat demikian dan PAS pula berhak mempertahankan kenyataan pemimpinnya.
"Ikut dia (Umno)...dia nak saman itu hak dia, hak kita membela diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, Selasa.
Beliau diminta mengulas berhubung saman fitnah RM10 juta yang bakal dikemukakan Umno terhadap Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berhubung kenyataannya yang mengaitkan Umno dengan pemeriksaan Jais di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lepas.
Abdul Hadi juga menegaskan parti itu tetap mempertahankan Mustafa kerana percaya kenyataan beliau disokong bukti kukuh.
Ditanya sama ada beliau telahpun ditunjukkan bukti-bukti tersebut oleh Mustafa, Abdul Hadi berkata: "InsyaAllah...".
Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dalam sidang medianya memberitahu selain Mustafa, pihak lain yang dikenal pasti terlibat termasuk mereka yang menerbitkan kenyataan itu juga akan disaman. - MStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan