Sabtu, 20 Ogos 2011

Mentega Golden Churn: Ballantyne Australia dakwa ada sijil halal

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pengeluar mentega jenama Golden Churn mempertahankan bahawa produk keluaran mereka adalah halal meskipun Isnin lalu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendakwa Pure Creamery Butter-Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia sebagai tidak halal.

“Kami, syarikat Ballantyne dari Australia, pemilik bangga jenama mentega Golden Churn, yang terkenal di seluruh dunia selama 70 tahun ingin mengeluarkan hebahan media ini untuk menghilangkan apa-apa kekeliruan yang mungkin wujud mengenai status halal produk kami di kalangan Muslimin dan Muslimat di Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi firma guamannya.

Syarikat itu berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa mentega Golden Churn yang didinginbekukan iaitu 250 gram mentega bergaram dan 227 gram mentega yang tiada garam, berbentuk kiub, yang dikilang dan dikeluarkan dari Australia telah disahkan halal oleh Jakim, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Johor.

Katanya, “kami ingin menjamin konsumer Muslim bahawa produk yang didinginbekukan tersebut adalah sama sekali bebas daripada unsur-unsur DNA khinzir.”

“Kami selanjutnya menjamin mereka bahawa kami sentiasa mempertimbangkan kepentingan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Jakim dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya memutuskan hanya mentega jenama Pure Creamery Butter — Golden Churn Butter keluaran syarikat Ballantyne Food Pty dari New Zealand tidak halal.

Ia dibuat hasil perbincangan JAKIM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kimia Malaysia, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Agama Islam Sarawak serta Jabatan Agama Islam Johor pada 8 Ogos lalu.

Sehubungan itu, Jakim menegur media yang menyiarkan maklumat atau memaparkan gambar produk selain keluaran syarikat beralamat di Allen Street Morrinsville 3340, New Zealand berkenaan.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha berkata, keputusan mengesahkan mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn, yang dipasarkan di Malaysia, sebagai tidak halal dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berbeza.

“Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu. Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta tidak menggunakan produk tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Othman meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru.

Beliau berkata mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.

Othman berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.

Pada 19 Julai lepas Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA, menyebabkan industri makanan itu terjejas.

Tiada ulasan: