KUALA LUMPUR : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini menafikan pihaknya akan menyita premis Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya atas dakwaan ia tidak pernah diluluskan sebagai rumah ibadat.
Bagaimanapun, MBPJ mengakui premis itu tidak pernah diluluskan.
Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Puasa Md Taib berkata, baik dari pihak Datuk Bandar mahupun kerajaan negeri beliau tidak diarahkan untuk mengeluarkan sebarang arahan supaya menyita Gereja Methodist Damansara Utama.
“Kita tidak pernah keluarkan apa-apa arahan untuk menyita Gereja Methodist Damansara Utama, tiada arahan daripada Datuk Bandar... juga tiada arahan daripada kerajaan negeri.
“Kita tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku, tapi setakat ini apa yang saya boleh katakan, tiada arahan untuk menyita gereja itu walaupun kita tahu premis itu tidak pernah diluluskan,” katanya dipetik The Malaysian Insider..
Khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) itu antaranya mendakwa operasi itu akan dijalankan kerana Gereja Methodist Damansara Utama tidak pernah diluluskan sebagai gereja dan permohonan asalnya sebagai pusat komuniti.
SMS itu juga mendakwa operasi itu akan dijalankan pada bila-bila masa sahaja.
Namun tegas Puasa, tiada arahan yang dikeluarkan sehingga kini.
“Tiada arahan untuk menyita gereja... tiada arahan tapi saya masih siasat mengenai dakwaan ini,” katanya.
Gereja Methodist Damansara Utama, menjadi tumpuan sejak seminggu lalu selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan serbuan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.
Serbuan itu mendapat bantahan banyak pihak dan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menuntut satu laporan daripada Jais berhubung kemelut yang berlaku.
Bagaimanapun pertubuhan bukan kerajan (NGO) Islam mempertahankan Jais dan Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali yang mendakwa perkataan “al-Quran” dan “doa”, atau “pray” dalam Bahasa Inggeris, diselitkan ketika majlis itu.
Dalam serbuan pada 3 Ogos lalu, Jais turut memeriksa 12 individu beragama Islam yang hadir dalam majlis makan malam itu namun tiada tangkapan dibuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan