Selasa, 2 Ogos 2011

Kenapa cadangan menubuhkan Majlis Perundingan Media membimbangkan

Mustafa K Anuar


Sebagai salah satu institusi penting dalam masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, media berperanan menyiarkan berita dan maklumat yang dianggap mustahak dan diperlukan oleh ahli masyarakat, lebih-lebih lagi dalam hal mereka membuat keputusan dalam kehidupan seharian.

Turut penting ialah media seharusnya menyediakan wadah bagi orang ramai yang prihatin meluahkan perasaan serta bertukar-tukar pandangan mengenai satu-satu isu atau perkara yang mempunyai kepentingan awam dan nasional dan telah dilaporkan oleh pihak media berkenaan. Juga, pertukaran pendapat ini berperanan sebagai maklum balas terhadap dasar dan langkah yang diambil oleh pemerintah untuk memastikan jurang antara pemerintah dan rakyat tidak melebar.

Di sinilah letaknya peri mustahak kesahihan sesuatu berita dan maklumat yang disiarkan oleh pihak wartawan dan media kerana ini melibatkan satu aspek penting dalam dunia kewartawanan, iaitu kredibiliti wartawan dan organisasi medianya.

Dengan kata lain, tanpa kredibiliti yang tinggi, sesuatu media itu menghadapi masalah audiens yang bersikap sinis dan kritis terhadap pemberitaannya. Malah ada dalam kalangan rakyat yang langsung tidak mempercayai berita yang disajikan.

Kredibiliti media ini, yang pada asasnya melibatkan pemberitaan yang adil dan saksama, perlu dipupuk dan dijaga buat masa yang lama untuk memastikan profesionalisme media berkenaan terjaga dan disegani. Ini dilakukan melalui kod etika kewartawanan sepertimana yang telah disediakan oleh Kesatuan Wartawan Malaysia serta organisasi media berkenaan sebagai garis panduan tugas wartawan.

Majlis Media

Majlis Akhbar atau Majlis Media secara prinsipnya adalah bertujuan untuk memajukan profesionalisme kewartawanan, serta meningkatkan kredibiliti wartawan dan media, dan tidak kurang pentingnya ialah menentukan kebebasan (independence) media dan wartawannya dari cengkaman pemerintah dan juga sektor korporat. Pendek kata, Majlis ini bertujuan mengawal selia ahli dalam dunia kewartawanan tanpa campur tangan mana-mana pihak, terutama pemerintah dan kalangan korporat.

Itulah sebabnya keahlian Majlis Media ini, sepertimana yang wujud dalam negara berdemokrasi seperti India dan Australia, melibatkan, misalnya, bekas hakim (sebagai Pengerusi Majlis yang tidak berkepentingan) serta wakil dari pertubuhan wartawan, industri media dan juga dari masyarakat sivil. Julat keahlian Majlis ini bertujuan cuba mewakili kepentingan hampir setiap lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang terpinggir dan lemah dari segi ekonomi dan politik.

Sesungguhnya, penglibatan pihak pemerintah dalam Majlis berkenaan selalunya tidak diterima atau disambut baik kerana kewujudan wakil mereka dianggap sebagai satu lapisan kawalan melalui mekanisme Majlis ini, yang sudah tentunya bercanggahan dengan prinsip yang melandaskan penubuhan Majlis itu, iaitu menjaga dan memajukan profesionalisme wartawan tanpa campur tangan pemerintah dan sektor korporat.

Jadi tidaklah menghairankan kenapa usul pemerintah Malaysia baru-baru ini untuk menubuhkan apa yang dipanggil Majlis Perundingan Media (MPM) mendapat respons yang dingin daripada pihak media, termasuk media arus perdana, dan aktivis media.

Khalwat media

Mengikut kertas cadangan, MPM ini bertujuan untuk, antara lain, menyediakan forum bagi kerjasama "harmonis" antara pemerintah dan media demi menjaga "kepentingan nasional". Kerjasama yang bercirikan "keharmonian" ini
menimbulkan tandatanya kerana ini akhirnya boleh ditakrifkan sebagai satu usaha untuk memastikan pihak media tunduk kepada kemahuan pemerintah dalam urusan media dan kewartawanan. Ini kerana hubungan yang "intim" sedemikian rupa lazimnya buat masa-masa yang lalu menghasilkan satu aktiviti "khalwat media" yang kurang sihat dari segi kebebasan media dan bersuara!

Salah satu perkara dalam cadangan ini yang begitu menonjol sekali sebagai petanda campur tangan pemerintah adalah kewujudan jawatan pengerusi bersama MPM yang disandang oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim (gambar kanan) dan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein. Timbalan pengerusi bersama pula melibatkan ketua-ketua setiausaha kementerian, dan pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Penerangan dicadangkan sebagai ahli Majlis. Satu perkawilan pemerintah yang tentunya besar dari peringkat atasan pentadbiran.

Bukan itu sahaja. Majlis ini diketuai oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu yang sukar bersikap neutral apabila berhadapan dengan isu etika profesion wartawan dan kepentingan kebebasan media, lebih-lebih lagi Kementerian Dalam Negeri yang kurang dikenali sebagai kementerian pro-media bebas.

Selain daripada wakil pemerintah, anggota MPM termasuklah wakil dari media cetak, elektronik dan media baru serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Antara yang dijemput bagi rundingan Majlis baru-baru ini ialah agensi berita Bernama, Kumpulan Utusan, Astro TV, stesen Media Prima seperti TV3, NTV7, TV8, TV9, Hot FM, Fly FM dan One FM, AMP Radio Network, AlHijrah Media Corporation, Suara Johor, Star RFM, Husa Network, kesemua akhbar di bawah Kumpulan NSTP, Kumpulan Media Karangkraf, Star Publications (M) Berhad, The Sun, The Edge, Malay Mail, Makkal Osai, Tamil Nesan, Sin Chew Daily, Malaysia Nanban, Kwong Wah Yit Poh Press Berhad, China Press, Nanyang Siang Pau, Sarawak Press Sdn Bhd, See Hua Daily dan United Daily News. Perwakilan ini melibatkan media arus perdana yang rata-rata ada kaitan rapat dengan parti komponen yang memerintah.

Blog House Malaysia
telah dipilih sebagai wakil tunggal media baru manakala pertubuhan bukan kerajaan terdiri daripada Institut Akhbar Malaysia, Kesatuan Wartawan Malaysia dan Persatuan Penerbit Majalah. Perwakilan ini sudah tentunya tidak mencerminkan kepelbagaian kepentingan yang ada dalam masyarakat sivil di Malaysia.

Portal berita online seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, Free Malaysia Today, Malaysia Today dan Merdeka Review sendiri tidak dijemput walaupun mereka mempunyai kad tauliah media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan. Ketiadaan perwakilan dari kelompok ini menjemput tandatanya kenapa mereka ini tidak mendapat tempat dalam Majlis ini walhal mereka merupakan golongan yang aktif dalam dunia media baru. Malah portal berita ini, yang menyediakan ruang lingkup besar untuk kewartawanan penyelidikan dan komentar kritis, telah memainkan peranan besar dalam menukar wajah lanskap media tanah air.

Selain daripada komposisi Majlis yang berat sebelah kepada pihak pemerintah, kewujudan undang-undang yang mencengkam, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, dan ISA yang masih diamalkan, membuat Majlis ini kelihatan sebagai satu lagi lapisan kawalan dari pihak pemerintah terhadap dunia media dan kewartawanan di Malaysia.

Dengan kata lain, untuk sesebuah Majlis Media yang bebas menjalankan peranannya dengan lebih berkesan, ianya perlu bebas dari cengkaman pemerintah dan korporat. Maka adalah perlu bagi pihak pemerintah untuk memastikan pemansuhan undang-undang yang disebutkan di atas sebelum menggalakkan penubuhan satu Majlis Media yang disegani dan mempunyai kredibiliti tinggi di mata rakyat negara ini. Dalam konteks ini, pihak pemerintah perlu menimbangkan kepentingan Akta Maklumat Bebas (Freedom of Information Act).

Sesungguhnya, Majlis Media tidak boleh bergerak dengan lebih lancar dan berkesan selagi ada persekitaran politik dan ekonomi yang membelenggukannya.

*Mustafa K Anuar ialah pengkaji media dan politiknya.

Tiada ulasan: