Rabu, 24 Ogos 2011

KDN Gagal Jamin Program 6P Bersih Dari Elemen Politik-PKR

Ditulis oleh Radzi Razak


PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih gagal menjamin bahawa Program Penyelesaian menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) benar-benar bersih tanpa sebarang elemen yang melibatkan kepentingan politik Umno-Barisan Nasional.

Menurut Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli, cara pengelolaan program yang menggunakan beribu 'ejen' lantikan itu memungkinkan pelbagai kebarangkalian perkara seperti 'skrip bersumpah' yang didedahkan PKR sebelum ini benar-benar berlaku.

"Apa yang kita temui ialah kehadiran surat sumpah itu datangnya dari kalangan ejen. Yang ini saya pasti KDN tak boleh beri jaminan...Sepatutnya KDN siasat. Saya pasti ejen-ejen ini ada kaitan dengan Umno," kata Rafizi

16 Ogos lalu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin mendakwa, BN sedang "menyeludup pengundi dengan berselindung di sebalik program pemutihan pendatang asing."

Malah beliau turut menunjukkan satu helaian kertas yang didakwa mengandungi 'skrip sumpah' yang mengandungi kenyataan menyebut "saya/ suami/ anak-anak, tanpa
berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/ Barisan Nasional (BN)."

KDN hari ini membuat laporan polis ke atas Zuraida yang didakwa kementerian itu membuat dakwaan palsu berhubung program 6 P.

Menurut timbalan menterinya, Datuk Lee Chee Leong, laporan dibuat di balai polis Seksyen 11, Shah Alam oleh Jabatan Imigresen Selangor dan akan disusuli
dengan saman fitnah tidak lama lagi.

Terdahulu, Ketua Setiausaha KDN Negeri Tan Sri Mahmood Adam menyatakan KDN sedang menimbang bentuk tindakan sama ada membuat laporan polis terhadap Zuraida, melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau mengemukakan saman terhadap Zuraida kerana pendedahan itu.

Namun menurut Rafizi, KDN sepatutnya bertindak secara pro aktif dengan dakwaan tersebut dan menyiasat dakwaan PKR terlebih dahulu.

"Apabila dibuka sebegitu rupa, dia ambil ejen yang tak tahu tapisan, proses ini terdedah pada manipulasi. Ejen guna ini untuk paksa PATI bahawa ini untuk proses Pilihan Raya...sepatutnya kalau KDN adil reaksi pertama ialah untuk siasat,"ujar beliau.

Zuraida pada sidang media sama menegaskan tidak boleh menyaman individu yang mengkritik, khususnya berhubung dakwaannya pendatang tanpa izin (PATI) diberikan 'skrip bersumpah' menyokong BN.

Bagaimanapun, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tidak gentar berdepan kemungkinan dikenakan tindakan itu walaupun menganggapnya "terkeluar" daripada peruntukkan undang-undang.

"Kalau terjadilah memang betul kejadian angkat sumpah itu kita lihat satu lagi flip-flop yang berlaku di KDN. Saya tidak gentar kalau nak saman tapi bagi saya saman itu sudah terkeluar lah. Kita dari Keadilan tak buat tuduhan tanpa asas. Kita orang bertanggungjawab, kita buat tuduhan dengan asas. Kita tunggu masa dan saat sesuai untuk kemuka bukti," tegas beliau.

Tiada ulasan: