Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menggesa Kerajaan Negeri mencontohi pendekatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menggunakan kuasa konsultasi terhadap Universiti Selangor (Unisel), untuk menasihati Kolej Universiti Insaniah (Kuin) memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk bersuara.
Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, kuasa konsultasi Kerajaan Negeri seharusnya digunakan sepenuhnya sebagaimana Khalid menasihati Unisel berhubung cara menanggapi aktivisme mahasiswa sehingga membolehkan universiti itu mengumumkan mereka bebas mengamalkan Akta Undang-undang Kolej Universiti (AUKU).
Menurutnya, SMM kesal apabila Kerajaan Negeri dilihat seolah-olah lepas tangan sedangkan masalah berkenaan boleh dipermudahkan menerusi kuasa konsultasi dan budi bicara Kerajaan Negeri dan Kuin sendiri.
“Selain itu, kami juga menyediakan memorandum untuk diserahkan kepada pentadbiran Kuin berhubung masalah yang dihadapi oleh rakan mereka di universiti itu.
“Memorandum Selamatkan Idealisme Mahasiswa itu ditandatangani oleh 2,005 mahasiswa daripada Lembah Klang bertujuan membantah tindakan Kuin mengenakan tindakan tatatertib terhadap enam penuntutnya,” katanya ketika ditemui media selepas perhimpunan aman oleh 300 mahasiswa Kuin selesai dijalankan di pekarangan kampus universiti itu, semalam.
Ahmad Syukri berkata, penyerahan memorandum itu dianggap sebagai langkah terakhir di peringkat mahasiswa dalam menuntut pertimbangan budi bicara Rektor Kuin sebelum langkah lebih drastik diambil termasuk tindakan undang-undang.
“Sekiranya tiada maklum balas diberikan pengurusan Kuin terhadap memorandum dihantar dalam masa terdekat, SMM bercadang untuk bersemuka sendiri dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi mencari jalan penyelesaian.
“Pada masa sama, SMM memohon pengurusan Kuin mencontohi pengurusan Universiti Malaya (UM) yang menarik balik keputusan menggantung seorang perwakilan mahasiswa universiti itu atas kesalahan hampir serupa dialami keenam-enam mahasiswa Kuin setelah pertimbangan budi bicara diambil kira,” katanya.
Sementara itu, Exco Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul ketika dihubungi berkata, tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap enam mahasiswa yang terlibat dengan demonstrasi di institusi itu 1 April lalu termasuk menolak keputusan rayuan mereka adalah mengikut peraturan universiti yang ditetapkan.
Menurutnya, tindakan tatatertib berat terpaksa dijatuhkan ke atas mereka kerana bertindak menjatuhkan imej Kuin kerana mengkritik secara terbuka melalui saluran media.
“Kita tiada masalah sekiranya mereka hendak mengadakan tunjuk perasaan sebagaimana dilakukan mahasiswa Kuin hari ini (semalam), asalkan kenyataan media yang secara terbuka memalukan pengurusan Kuin tidak dibuat.
“Permohonan rayuan mereka juga terpaksa ditolak setelah pengurusan Kuin dapati mereka tidak menunjukkan kekesalan dengan kesalahan peraturan yang dibuat. Mereka perlu sedar, mahasiswa perlu bersikap seperti mahasiswa, kena patuhi peraturan universiti,” katanya.
Berhubung gesaan SMM meminta Kerajaan Negeri menggunakan kuasa konsultasi untuk mengubah keputusan pengurusan Kuin, Mohamed Taulan meminta kesemua pemimpin mahasiswa terlibat berjumpa dengan Kerajaan Negeri atau Ahli Lembaga Pengarah Kuin untuk dapatkan penjelasan sebenar.
“Jangan dengar penjelasan sebelah pihak kerana pengurusan Kuin tidak akan mengambil sesuatu tindakan tanpa pertimbangan rasional,” katanya.
Isnin, 1 Ogos 2011
Isu Kuin: SMM gesa Kedah contohi Selangor
Oleh al_madd
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan