Isnin, 15 Ogos 2011

Bersih hambat rasa takut rakyat

DETIK DAILY


MESKIPUN Tanah Malaya merdeka dari penjajahan British pada tahun 1957, dan seterusnya untuk Sabah dan Sarawak pada tahun 1963, namun pada hakikatnya negara Malaysia tidak pernah bebas dari penjajahan ketakutan dan keganasan.

Kita bukan sebuah negara merdeka, selagi kita boleh dipukul polis pada bila-bila masa.Perhimpunan Bersih 2.0 membuka lembaran baru gerakan sosial di negara ini. Rakyat ghairah berkongsi kisah 709, sama ada di warung mamak mahupun di alam siber.

Kini, keenam-enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan. Persoalannya, adakah bahang gerakan sosial ini akan dikekal hangat, ataupun dibubuhkan noktah begitu sahaja?

Rakyat menganggap sama ada gerakan ini dikekalkan atau tidak, bergantung kepada sikap kerajaan (untuk menekan atau tidak gerakan ini) dan pertubuhan masyarakat sivil (lebih proaktif untuk mengekalkan kehangatan gerakan ini).

Kini, tahanan EO6 kehilangan kebebasan untuk kirakira 30 hari, dan mendiang Teoh Beng Hock kehilangan nyawanya pada usia 30 tahun - kedua-duanya berlaku dalam zaman pemerintahan Najib Razak.

Banyak pihak menaruh harapan agar rakyat Malaysia tidak perlu lagi bertoleransi kepada keganasan pada masa depan, hanya kerana alasan bahawa masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum.

Kerajaan Umno-BN dan polis telah memaklumkan bahawa tindakan akan diambil terhadap peserta perhimpunan Bersih 2.0 dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Seandainya Peguam Negara mendakwa mereka ke mahkamah, maka aktiviti akan dipergiatkan untuk menunjukkan “solidariti” kepada mereka.

Selain itu, gerakan ini boleh dikekalkan, seandainya Bersih 2.0 mengutarakan halatuju reformasi yang jelas - maka rakyat mempunyai ruang untuk melibatkan diri dan menyatakan sokongan mereka.

Pengerusi Bersih 2.0, Dato’ S Ambiga Sreenevasan berkata, tiada siapa akan melupai Teoh Beng Hock.

Malah, sesiapapun gagal menggantikan Beng Hock sebagai seorang suami, anak dan abang yang baik kepada ahli keluarganya.

Ini bermakna usaha menuntut pembebasan EO6, Bersih 2.0, sehinggalah kembalinya kebenaran untuk Beng Hock - kesemuanya menuntut satu perkara, iaitu keadilan, dan mendukung semangat negara hukum (rule of law).

Walaupun buku laporan Suruhanjaya Diraja sudah diedar,namun tiada siapa yang percaya dan yakin bahawa Beng Hock mati bunuh diri. Ada banyak alasan untuk berhujah. Inilah yang dikatakan ketakutan dan malam memanjang. Keadilan tidak terlerai.

Namun, perkembangan gerakan Bersih 2.0 sepanjang tempoh dua bulan ini memperlihatkan banyak perkembangan yang positif, terutamanya apabila rakyat tidak lagi diselubungi rasa takut, menurut pengamatan beliau.

Jika membandingkan 709 dengan Operasi Lalang pada tahun 1987, yang mana suasana kini, ketakutan tidak lagi menyelubungi masyarakat. Apa yang wujud adalah suasana ketakutan yang cuba ditimbulkan kerajaan.

Kerajaan Umno-BN berjaya menjadi rakyat takut dan berdiam diri ketika Operasi Lalang. Pimpinan pertubuhan cuba larikan diri ke luar negeri, sebagai alasan untuk mengelakkan diri daripada menyatakan pendirian.

Terlalu sedikit yang sanggup menyatakan pendirian, apatah lagi sokongan. Kini, rakyat secara terbuka menyatakan hasrat untuk turun ke jalan raya, malah berkongsi pengalaman dirinya berdemonstrasi dengan rakan-rakan mereka.

Puluhan ribu turun ke jalan raya meskipun polis dan kerajaan mencuba sedaya upaya untuk menyekat kemaraan rakyat, di samping penangkapan secara besar-besaran. Ini menunjukkan bahawa rakyat telah membebaskan diri daripada ketakutan, malah melihat perhimpunan ini sebagai manisfestasi patriotisme.

Mereka melihat diri mereka menyumbang untuk memajukan negara. Jelas, ini satu kemajuan gerakan sosial jika dibandingkan dengan Operasi Lalang, 24 tahun yang lalu.

Tiada ulasan: