Kepada:
Pengarah Bahagian TataTertib
Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman
17 OGOS 2011
Aduan Salahguna Kuasa Polis Dalam Penahanan 31 Orang Aktivis Dan Penyokong PSM Di Pulau Pinang (25/6/2011 – 4/7/2011)
Kami, ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia yang menandatangani aduan ini ingin membawa kepada perhatian tuan beberapa kejadian salahguna kuasa polis semasa kami ditangkap dan direman di antara 25/6/11 dan 4/7/11 di Balai Polis Seberang Perai Utara dan Balai PolisButterworth.
Kami telah membuat aduan polis terhadap perkara ini pada 14/7/11 di Balai Polis Pusat, Ipoh, namun sehingga hari ini, selepas satu bulan lebih, belum ada sebarang temuduga, atau maklumbalas daripada pihak polis. Aduan-aduan polis yang berkenaan adalah dilampirkan dan bernombor: Sg Dua/000952/11, Sg Dua/000954/11, Sg Dua/000955/11, SgDua/000956/11, Sg Dua/000957/11, Sg Dua/000958/11, Sg Dua/000959/11.
Tujuan kami membuat aduan tatatertib ini adalah supaya isu-isu yang kami mengemukakan diberi perhatian serius dan disiasat, dan tindakan tegas diambil untuk mengawal penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis dengan segera.
Latar belakang
31 orang ahli PSM, penyokong PSM dan pemandu bas, ditangkap oleh polis pada lebih kurang 3.30 petang, pada 25 Jun 2011 di tol Sg.Dua, Pulau Pinang. Kesemua ahli PSM dan penyokong telah terlibat dalam kempenPSM - "Udahlah tu…Bersaralah" - yang berkaitan dengan pilihanraya umum akan datang. Polis telah membuat tuduhan bahawa kami mahu buat perang terhadap DYMM Yang DiPertuan Agung. 30 orang termasuk dua pemandu bas (kecuali anak seorang pemandu) direman untuk jumlah tujuh hari di Balai Polis IPK Pulau Pinang, Balai Polis Seberang Perai Utara, Balai Polis Butterworth dan Balai Polis Sg.Dua. Selepas tujuh hari, reman disambung untuk tiga hari lagi untuk kesemua, kecuali dua orang remaja yang dilepaskan, dan enam orang yang dibebaskan dan ditangkap semula di bawah EO.
Akhirnya, 25 orang telah dicaj di Mahkamah Butterworth pada 4 Julai 2011 atas dua kesalahan, iaitu, membantu organisasi yang haram (Section 48 dan Section 43 Akta Pertubuhan), dan mempunyai dokumen subversif (Section 29 (1) Akta Keselamatan Dalam Negara), dan dibebaskan dengan di ikat jamin RM8,000 seorang.
Salahguna Kuasa Polis
1. Polis menggunakan kekerasan dan menyeksa kami untuk mendapatkan jawapan yang diingini dan untuk menghukum kami apabila kami pilih untuk jawab di mahkamah.
Semasa disoalsiasat, kami dikasari dan ada yang kena pukul polis:
i. Sebelum masuk lokap, seorang polis perempuan ludah ke atas muka dan tumbuk muka Packialetchumy kerana tidak menghormati haknya untuk memakai t-shirt "Udahlah tu.." (Repot Sg Dua/000952/11).
ii. Beberapa orang termasuk Jody a/p Perumal dan Ramasamya/l Suppiah dipaksa berdiri sepanjang masa soalsiasat, iaitu sampai tujuh jam sehari, untuk beberapa hari (Repot SgDua/000954/11 & Repot Sg Dua/000955/11).
iii. Dimaki dengan pakai perkataan "pariah" enam kali berulang-ulang (Repot Sg Dua/000954/11).
iv. Dihalang menggunakan tandas semasa tujuh jam soalsiasat sebab polis tidak buka gari apabila orang kena tangkap hendak ke tandas. (Repot Sg Dua/000954/11).
v. Menggunakan bahasa yang sangat kasar dan kata-kata kesat dalam Bahasa Tamil. (Repot Sg Dua/000955/11, Repot SgDua/000952/11).
2. Gangguan seksual polis terhadap tahanan wanita
Repot Sg Dua/000952/11 Packialetchumy a/l Gopal:
"Berlaku gangguan seksual terhadap saya. Di mana seorang polis perempuan memaksa saya menukar ke baju lokap di hadapan polis lelaki. Bila saya enggan, polis perempuan itu sendiri mengangkat baju T saya ke atas ke paras baju dalam saya. Saya rasa sangat malu.
Semasa soalsiasat juga polis cuba menekan saya dengan menanya soalan yang tidak patut (inappropriate), berkaitan dengan hal persendirian saya. Polis tanya jika saya tidak rasa hendak adakan "seks" dengan mana-mana lelaki; "jika tidak ada nafsu untuk mana-mana lelaki."
Repot SgDua/000957/11 Kavitha A/P Munisamy
"Saya juga ditanya secara seksual dengan soalan-soalan lucah oleh seorang polis lelaki Melayu dan seorang polis wanita Cina."
3. Polis tokok tambah percakapan kami; tidak baca balik percakapan
Kami rasa risau sebab ada di antara kami yang tidak fasih dalam Bahasa Malaysia, dan apabila kami minta supaya disoal siasat oleh polis India, tidak dibenarkan. Ada di antara kami yang menandatangani percakapan walaupun tidak faham dengan sepenuhnya kandungan percakapan itu. Ada juga keadaan di mana polis suruh kami tandatangani percakapan tanpa membaca balik (Sg Dua/000958/11 Sivoosamy a/lMuniandy). Kami juga risau polis menokok tambah percakapan kami, seperti:
Repot Sg Dua/000955/11 Ramasamy a/l Suppiah
"Saya rasa khuatir tentang statement yang saya telah tandatangani. Ini adalah sebab dokumen itu terdiri daripada mukasurat 10-20 sahaja. Mukasurat 1-9 dan 21-30 tidak diberi kepada saya. Saya rasa khuatir sebab polis telah cuba selitkan beberapa soalan dan jawapan yang disediakan oleh polis sendiri, antaranya:
1) Mengapakah kamu masuk dalam PSM?
Jawapan: Pemahaman komunis dan bukan seganas seperti dahulu
2) Apakah kamu buat dalam PSM?
Jawapan: Menolong orang miskin dan mahu menjatuhkan kerajaan sekarang.
4. Polis tidak berkecuali dan berpihak kepada parti Barisan Nasional
Beberapa kali semasa kami dalam kawalan polis, polis telah bertindak secara tidak profesional dan tidak berkecuali.
Repot Sg Dua/000954/11 Jody a/p Perumal
Berasaskan polis yang siasat saya, tangkapan dan tahanan saya adalah sebab politik dan diarah oleh Barisan Nasional. Polis cakap semasa siasatan - "polis Barisan, hakim Barisan, mahkamah Barisan, you tak boleh cabut satu bulu pun."
Repot Sg Dua/000955/11 Ramasamy a/l Suppiah
Polis tidak professional dan berkecuali dan mempromosi dan menahan Barisan Nasional. Polis telah memberi taklimat selama 1 jam lebih setiap hari tentang kebaikan Barisan Nasional dan begitu puji Perdana Menteri Najib dan memaki PSM.
RepotSg Dua/000952/11 Packialetchumy a/l Gopal:
"...seorang polis perempuan cakap - "you berani pakai t-shirt ini (t-shirt Udahlah tu..). Bila saya jawab bahawa itu adalah hak saya anggota polis itu tumbuk muka saya dan mengatakan, "berani cakap BN keluar."
5. Tempoh remand yang berniat jahat untuk pergunakan dan menyeksa kami
Kami dipergunakan oleh polis untuk memberi amaran kepada rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 8/7/11.
Kami dituduh mahu melancarkan perang terhadap DYMM YDP Agung dan direman untuk tujuh hari dan kemudian reman dilanjutkan untuk selama tiga hari. Tuduhan ini sengaja direka oleh polis untuk mendapatkan tempoh remand yang maksima dan tambahan pula semasa dalam reman, siasatan polis tidak berfokus kepada kesalahan melancarkan perang. Di samping itu, di mahkamah Butterworth, polis memohon reman dilanjutkan tujuh hari lagi dan mendapat tiga hari, tetapi selama tiga hari tersebut, tidak ada sebarang siasatan terhadap kami. Polis berniat jahat untuk mempergunakan dan menghukum kami.
Pada akhir tempoh remand, tuduhan melancarkan perang digugur, dan kami dikenakan tuduhan yang baru ia itu membantu pertubuhan haram (BERSIH 2.0) dan mempunyai dokumen subversif.
Kami mahu aduan kami disiasat dengan segera dan tindakan tegas diambil supaya perkara yang sama tidak berulang demi memulihkan nama dan imej PDRM.
*Aduan salahguna kuasa polis dalam penahanan 31 orang aktivis dan penyokong PSM di Pulau Pinang (25/6/2011 – 4/7/2011) oleh Parti Sosialis Malaysia cawangan Sungai Siput 20 Taman Orkid, 31100 Sg. Siput.
Khamis, 18 Ogos 2011
Aduan salahguna kuasa polis dalam penahanan 31 orang aktivis PSM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan