Ditulis oleh Shakira Buang
SINGAPURA : Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Tanjong Pagar di sini melabuhkan tirai dengan diiringi linangan air mata pengunjungnya malam tadi, setelah 80 tahun menaburkan jasa menghubungkan rakyat di Semenanjung dengan Singapura.
Sebaik sahaja tren terakhir yang dipandu oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bergerak meninggalkan stesen tepat pukul 11 malam, para pengunjung stesen itu turun beramai-ramai ke landasan untuk merakamkan gambar serta mengutip batu kerikil di landasan untuk dijadikan kenangan.
Laporan Bernama Online menyebut ramai di kalangan pengunjung kelihatan menitiskan air mata selepas tren terakhir itu berlepas. Sultan Johor memandu tren terakhir itu sebagai simbolik berakhirnya perkhidmatan KTMB di stesen itu.
Tepat jam 12 tengah malam, stesen yang telah beroperasi selama lapan dekad memberikan perkhidmatan menghubungkan Malaysia dan Singapura sejak 1932 itu menghentikan operasinya dari stesen itu secara total.
Bermula hari ini, perkhidmatan KTMB dari Singapura akan beroperasi dari stesen kereta api Woodlands.
Terdahulu, Sultan Johor yang diiringi putera baginda Tengku Temenggong, Tengku Idris, serta puteri Tengku Amina tiba di stesen itu pada pukul 10.20 malam seterusnya dibawa meninjau persekitaran stesen berkenaan oleh pegawai kanan KTMB yang bertugas.
Keberangkatan rombongan diraja itu disambut meriah oleh ribuan pengunjung serta para media sama ada tempatan mahupun antarabangsa yang begitu teruja menunggu sejak lewat petang bagi merakamkan detik bersejarah perjalanan terakhir tren itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan