KUALA LUMPUR — Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan larangan operasi pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan tidak pernah “ditarik balik” seperti mana yang didakwa oleh media arus perdana.
Sebaliknya jelas Sanusi, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) secara umum bersetuju untuk membenarkan pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan, namun terhad kepada orang bukan Islam sahaja.
“Kerana itu hak mereka dan kerajaan (negeri) juga harus memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan akidah sepanjang bulan Ramadan.
“Enakmen yang sudah diwartakan harus dikuatkuasakan untuk kepentingan semua pihak. Ini tanggungjawab sebuah kerajaan,” katanya dalam laman blog peribadi beliau.
Menurut Sanusi, Azizan juga menetapkan enakmen itu akan diserahkan kepada pentadbiran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Pelesenan Daerah untuk pertimbangan kelonggaran berdasarkan peraturan sedia ada dan cadangan yang dikemukakan.
Beliau juga menegaskan keputusan itu tidak ada kaitan dengan gesaan yang dibuat DAP sebelum ini.
“Selesailah isu sensasi yang sengaja dipanaskan tak ketahuan punca itu. Tidak timbul sama sekali pembatalan atau tarik balik kerana takutkan DAP,” katanya.
Sebelum ini, Azizan berkata pihaknya memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya tahun ini.
Azizan berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.
Kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.
Bagaimanapun langkah itu mendapat bantahan daripada MCA dan Gerakan.
Selain itu Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.
Tambah Sanusi, polemik yang berlaku sejak minggu lalu hanya salah faham ekoran laporan media yang disifatkan beliau tidak jelas.
Larangan itu melibatkan 13 kategori termasuk karaoke, pentomin, panggung wayang, laser disc, MTV, persembahan pentas, sarkas, pancaragam dengan penyanyi, boling, snuker, biliard, bar, simulator, disko dan pub.
Ia diluluskan diluluskan pada 1997 dan diwartakan 12 Febuari 1998.
“Mereka sangka tentang jalan keluar dari isu ini hanyalah melalui membatalkan enakmen 1997 itu. Mereka terlupa syarat No. 8 itu ada tercatat pada borang memohon lesen yang mereka tandatangani.
“Mereka sangka peraturan ini hanya berlaku di daerah tertentu sahaja. Mereka tidak tahu beberapa kategori sukan dikecualikan dari takrif hiburan dalam enakmen.
“Semua persepsi ini dibina oleh MCA, DAP dan Gerakan melalui media,” kata Sanusi.
Enakmen itu yang dinyatakan pada No. 8 menyebut, jenis hiburan yang tersebut di atas tidak boleh diadakan pada bulan Ramadan atau pada hari Jumaat (iaitu antara pukul 6 petang hari Khamis dan pukul 2.30 petang hari Jumaat) kecuali izin bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri diperoleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan