Ditulis oleh Salmiah Drahsin
SHAH ALAM : Penahanan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar adalah cubaan terbaru kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menakut-nakutkan orang ramai dan pemimpin politik dari terus menyertai perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai ini.
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar,tidak cukup dengan tindakan rakus polis secara semberono menahan sesiapa sahaja pemimpin pembangkang mahupun orang awam yang memakai pakaian berwarna kuning, polis terus menggunakan seluruh kekuatan yang ada untuk menyekat hak kebebasan orang ramai untuk bersuara.
" Tindakan itu adalah tindakan untuk menakutkan orang ramai dan pemimpin-pemimpin politik khususnya bahawa ini adalah satu isyarat, kalau kamu teruskan Bersih, inilah akibatnya, kamu akan terima hukuman seperti ISA.
"Tapi saya percaya, bagi pemimpin politik, walaupun kami membantah ISA, tetapi kalau itu yang dihadapkan kepada kita, kita terima sebagai pengorbanan untuk masa depan negara,"kata Mahfuz kepada Tv Selangor.
Menurut Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena, tindakan polis menahan enam ahli PSM di bawah Ordinan Darurat adalah bertujuan untuk menutup helah yang digunakan kerajaan dalam menghalalkan penahanan yang dibuat ke atas ahli PSM.
Ujar beliau, kerana tidak mempunyai hujah kukuh apabila menyabitkan anggota PSM dengan cubaan menghidupkan fahaman komunis, mereka kemudiannya ditahan di bawah Ordinan Darurat yang membolehkan mangsa ditahan tanpa bicara.
Pada masa sama cuba memberi amaran kepada pemimpin pembangkang dan orang ramai supaya tidak menyertai himpunan Bersih.
" Ini menunjukkan kerajaan tidak ada alasan di atas penahanan yang mereka lakukan. Jadi mengheret mereka ke atas Akta Darurat adalah sesuatu yang tidak adil,"tambah Mahfuz lagi.
Enam ahli PSM tersebut hadir ke mahkamah Butterworth pagi tadi apabila tempoh tahanan reman mereka berakhir hari ini.
Walau bagaimanapun, baru seminit dibebaskan, mereka kemudiannya ditahan di bawah Ordinan Darurat dan dibawa ke Bukit Aman.
Selain Jeyakumar, turut ditahan Timbalan Pengerusi PSM M. Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M. Sugumaran, G Pakialetchumy dan Sarat Babu.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969.
Ini membolehkan keenam-enam mereka ditahan selama 60 hari tanpa perbicaraan.
Mengulas penahanan terbabit, ahli parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye menyifatkan ia sebagai suatu tindakan zalim oleh kerajaan pemerintah demi menyekat kebebasan rakyat bersuara.
" Adalah tidak munasabah untuk tahan mereka di bawah Ordinan Darurat. Ini adalah satu akta yang zalim,"katanya.
Mengulas isu sama, ahli parlimen Beruas yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, penggunaan Ordinan Darurat ke atas anggota PSM jelas
menggambarkan ketakutan kerajaan terhadap suara pembangkang yang mewakili suara rakyat.
" Ordinan darurat ini digunakan ialah untuk menangkap mereka yang menggugat ketenteraman awam. Kita semua tahu bahawa Dr D. Jeyakumar tidak menggugat ketenteraman awam tetapi mungkin beliau boleh menggugat Umno-Barisan Nasional daripada terus mentadbir Malaysia,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan