Ahad, 10 Julai 2011

Saifuddin Dakwa Anggota Polis Ingkar SOP Banteras Bersih

Ditulis oleh Salmiah Drahsin


SHAH ALAM : Gambaran tidak tepat yang diberikan oleh Ketua Polis Negara bersabit tindakan polis membanteras perhimpunan Bersih membayangkan kemungkinan anggota polis melanggar Standard Operating Procedures (SOP) ketika melaksanakan tugas.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution berkata, kenyataan-kenyataan Tan Sri Ismail Omar semalam adalah bercanggah dengan apa yang berlaku dan menggambarkan beliau sendiri tidak mengetahui situasi sebenar di lokasi kejadian.

" Kalau seorang Ketua Polis Negara boleh memberikan maklumat yang tidak tepat, saya juga tertanya-tanya apakah status laporan yang disampaikan oleh KPN kepada Perdana Menteri, sudah tentulah tidak akan memberikan gambaran yang sebenar,"ujar beliau kepada Tv Selangor.

Saifuddin berkata Ismail silap apabila memberitahu wartawan kononnya polis hanya melepaskan satu pusingan tembakan gas pemedih mata di Pudu dan tidak melepaskan sebarang tembakan di perkarangan Hospital Tung Shin.
" Saya berada di lokasi Jalan Pudu semalam. Peserta himpunan diserang tiga kali oleh pasukan polis dengan tembakan gas pemedih mata.

" Termasuklah di Hospital Tung Shin yang dinafikan oleh IGP dengan mengatakan itu bukannya prosedur polis," kat Saifuddin.

Ismail semalam dalam satu sidang media di Bukit Aman mengeluarkan beberapa kenyataan bercanggah sehingga menimbulkan pelbagai pertikaian setelah diasak oleh wartawan.

Ismail turut menafikan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami kecederaan akibat tembakan gas pemedih mata di Stesen Sentral KualaLumpur.

"Dia tak ada di Pudu. Di situ saja ada gas pemedih mata. Itu tidak benar," Ismail dipetik sebagai berkata.

Namun apa yang berlaku, adalah sebaliknya.

Hakikatnya, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata tepat ke arah muka Anwar ketika baru hendak berarak dari Jalan Tun Sambathan, namun ia sempat dihalang oleh pengawal peribadi beliau, Fayad Al-Bakri.

Akibat dari itu, Fayad patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan. Anwar turut dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai untuk rawatan lanjut.

Walau bagaimanapun, penafian Ismail itu tidak mampu membohongi lensa kamera wakil media serata dunia yang setia mengikuti perarakan itu semalam.

" Gambar boleh menceritakan 1001 cerita. Padahal apa yang berlaku semalam memang berlaku tembakan dari arah depan dan belakang di lokasi Stesen Sentral Kuala
Lumpur," ujar Saifuddin yang turut melawat Anwar di Pusat Perubatan Pantai petang semalam.

Dalam pada itu, pada malam tadi dan hari ini, media-media kawalan Umno-Barisan Nasional rata- ratanya memaparkan kenyataan Ismail di samping memuji kebijaksaan polis mengawal keadaan.

Malah Ismail turut berkata, tidak ada satu pun kejadian yang tidak diingi berlaku dan polis menjalankan tanggungjawab dengan berhemah.

Lebih malang dan menyayat hati, kematian salah seorang peserta demonstrasi Baharuddin Ahmad yang sesak nafas akibat tembakan gas pemedih mata umpama
disorokkan.

Hari ini jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Lembah Keramat di Taman Seri Keramat Tengah dengan dihadiri lebih 500 hadirin pelbagai kaum untuk memberi penghormatan terakhir.

Diuja persoalan kepada Saifuddin, apakah yang cuba digambarkan melalui laporan-laporan media arus yang jauh menyimpang dari kejadian sebenar semalam,

Saifuddin punya hujah yang cukup relevan.

" Motifnya satu untuk memberi gambaran kononnya himpunan Bersih ini tidak mendapat sambutan rakyat. Hanya itu yang mereka cuba sampaikan," jawab beliau ringkas.

Namun di sebalik itu, beliau sempat memberikan pesanan kepada Umno-Barisan Nasional dan polis bahawa rakyat pada hari ini tidak mudah untuk dimomok-momokkan dengan berita-berita yang bersifat tidak telus seperti yang dilaporkan oleh Tv3 dan Utusan Malaysia.

" Cuma satu yang saya hendak sampaikan kepada Barisan Nasional dan juga polis ialah, mereka boleh membohongi rakyat pada satu-satu masa. Tetapi mereka tidak boleh membohongi rakyat selama-lamanya. Tambahan lagi dengan capaian media baru,"kata beliau.

Tiada ulasan: