Khamis, 14 Julai 2011

Rais mahu Anwar guna Parlimen, jangan perkenal revolusi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menggunakan saluran Parlimen untuk membincangkan sebarang perubahan dan bukannya memperkenalkan revolusi yang membawa konotasi negatif dalam mencapai tujuan politiknya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata institusi Parlimen adalah saluran terbaik dan tepat untuk menyuarakan sesuatu atau membawa pembaharuan kepada perjuangan, undang-undang atau struktur sosial yang hendak dilakukan.

“Institusi Parlimenlah yang terbaik digunakan oleh beliau (Anwar) dan konco-konconya serta sahabat-sahabat beliau dan tidak menggunakan revolusi seperti yang beliau sebutkan itu. Jika dilakukan juga, maka institusi Parlimen kita akan jadi nombor tiga atau empat.

“Sedangkan Parlimen adalah institusi yang teratas bagi kita menyuarakan sesuatu dan membawa pembaharuan kepada perjuangan, undang-undang ataupun struktur sosial yang hendak dilakukan,” katanya dipetik Bernama Online.

Justeru, Rais menyeru agar rakyat di negara ini berwaspada dengan perkataan revolusi yang cuba dibawa oleh Anwar yang disiarkan oleh media luar negara dan tidak termakan dengan angan-angan politik beliau yang boleh merosakkan keamanan dan kesejahteraan Malaysia.

Katanya, revolusi yang diperkatakan oleh Anwar perlu ditolak oleh rakyat Malaysia kerana revolusi itu akan menjejaskan pelbagai pihak termasuk Raja-raja Melayu, hak dan adat istiadat, agama Islam, institusi diraja dan institusi Parlimen.

“Bukan ini (revolusi) yang kita perlu. Yang kita perlu adalah menggunakan Parlimen dengan sebaik mungkin. Kalau hendak dikemukakan, bawalah Bill (Rang Undang-undang) persendirian untuk mengubah mana-mana undang-undang.

“Ini pernah dilakukan oleh mendiang Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu. Jadi kenapa tidak digunakan proses demokrasi dan tidak menggunakan kekerasan jauh sekali menggunakan perkataan revolusi,” katanya.

Tiada ulasan: