Isnin, 25 Julai 2011

Putrajaya bincang isu Wahabi, kaitan dengan terorisme

TERKINI

KUALA LUMPUR— Isu berkaitan fahaman Wahabi muncul semula hari ini dengan Putrajaya mengadakan mesyuarat khas meminta para mufti dan agensi agama negeri mengambil tindakan memantau amalan tersebut.

Difahamkan mesyuarat pagi ini merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan terorisme.

“Mesyuarat hari ini hanya memfokus pada isu amalan fahaman Wahabi dan kaitan dengan terorisme... di mana akhirnya mesyuarat memutuskan mereka yang ada kaitan dengan fahaman ini boleh menjurus kepada terorisme,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Mesyuarat hari ini adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan a,alan Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi.

“Berdasarkan maklumat diterima, kesemua mufti negeri diminta memantau perkembangan amalan Wahabi di negeri masing-masing dan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu,” kata sumber itu lagi.

Beberapa mufti yang dihubungi The Malaysian Insider enggan mengulas lanjut melainkan mengakui ada mesyuarat itu.

“Lebih baik tanya kepada Majlis Keselamatan Negara,” kata sumber itu lagi.

The Malaysian Insider juga difahamkan mesyuarat hari ini ada menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Antara nama itu ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar kiri), yang pernah dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Asri ketika dihubungi berkata beliau terkejut dengan kemunculan semula isu amalan Wahabi sedangkan menurut beliau ia sepatutnya sudah “reda.”

Bagaimanapun beliau tidak menolak ia kemungkinan ada kaitan dengan perkembangan politik negara dan usaha mengalih pandangan selepas perhimpunan aman 9 Julai.

“Saya ada menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Johari, tetapi beliau tiada maklumat tetapi memberitahu akan meneliti,” katanya Asri memberi pandangan progresif mengenai perkembangan politik semasa.

Sementara itu ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata, beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkembangan terbaru ini.

Beliau sebaliknya menegaskan agar pihaknya diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan MKN.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa mengenai perkara ini, saya difahamkan ia masih dalam proses perbincangan lagi.

“Jadi lebih baik keadaan reda dulu dan kita harap dapat membuat penjelasan dengan MKN, perkara ini terjadi sebab kita tidak mendapat peluang untuk buat penjelasan,” katanya.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga muncul.

Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.

The Malaysian Insider difahamkan nama Hadi dan Shahidan tidak muncul kali ini.

Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Zamihan Mat Zin, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata . . . ada tangan . . . ada kaki . . . itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Tiada ulasan: