Rabu, 13 Julai 2011

Pengerusi Bersih Ambiga tidak akan tanding PRU-13

TERKINI



KUALA LUMPUR — Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan beliau tidak akan sama sekali bertanding pada pilihan raya umum ke-13 meskipun ada gesaan agar meneruskan perjuangannya dengan menjadi wakil rakyat.

Bekas presiden Majlis Peguam (gambar) ini dilihat sebagai ikon baru pergerakan masyarakat madani bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said selepas menerajui perhimpunan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya umum meskipun berhadapan dengan kritikan dan halangan pentadbiran Najib.

Ekoran populariti itu, beberapa pihak mahukan beliau bertanding dalam pilihan raya umum yang dijangka diadakan awal tahun depan.

“Sudah pasti tidak,” kata beliau ketika ditanya sama ada akan bertanding pada sidang media hari ini.

“Dan, saya boleh mengatakan mengapa (tidak). Saya tidak dapat bertahan dengan politik negara ini,” kata beliau.

Ambiga, yang terus-menerus diserang ekoran keputusannya berdiri bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat pada Sabtu lalu menjelaskan, beliau hanya menerima tawaran mereka atas aspek keselamatan.

“Fikir tentang siapa yang mengugut kami. Bukan Pakatan. Ugutan, keganasan... semua datang daripada BN. Apa yang cuba dilakukan pada hari itu ialah menjamin keselamatan kami,” kata beliau.

Ambiga juga menjelaskan keputusan pihaknya menerima sokongan Pakatan Rakyat pada Sabtu lalu tidak bermakna Bersih 2.0 mengambil sikap memihak.

“Kami bergerak dengan sendiri, tetapi kami mengalu-alukan input sesiapa sahaja, kedua-dua Pakatan dan Barisan,” kata Ambiga.

Tiada ulasan: