Selasa, 19 Julai 2011

Penduduk setingan Pujut terima bantuan dari Abd Hadi

Harakahdaily


(Penduduk Pujut 3 gembira menerima sumbangan dari Presiden PAS)


MIRI: Dengan pemberian hanya dua bungkus mee hon, sepaket minyak masak dan sekampit gula, penduduk miskin dan berpendapatan rendah di kawasan setinggan di sepanjang Sungai Adong, Pujut 3 begitu gembira menyambut kunjungan pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke kawasan mereka.

Kunjungan itu diketuai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Hadir sama Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee dan ahli jawatankuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS Miri, Madelline Len.

Selaras dengan konsep negara berkebajikan, mereka tidak datang dengan tangan kosong tetapi membawa sedikit makanan untuk membantu keluarga di sini.

Sumbangan itu diserahkan sendiri oleh Abdul Hadi dan ada antara mereka berebut-rebut mendapatkan sunbangan itu kerana takut ketidakcukupan walaupun bungkusan yang cukup disediakan untuk mereka.

Abdul Hadi dalam sessi kunjungan ke Miri untuk bertemu pemimpin PAS di sana di samping memberikan ucapan di sana.


(Asong Dungau menjinjing bungkusan yang mengandungi mee hon, minyak masak dan gula.)

Seramai 134 penerima didaftarkan untuk menerima bantuan tersebut, namun sebahagian daripada mereka begitu teruja sehingga sanggup berebut-rebut mendapatkan bungkusan itu yang disimpan di atas ruangan penyimpanan barang kenderaan pacuan empat roda.

Beberapa penerima yang kebanyakan golongan warga emas dan suri rumah ketika ditemui memberitahu, mereka berasa terharu dengan pemberian tersebut dan tidak menyangka akan diberi mee hon, minyak masak dan gula memandangkan sebelum ini tidak pernah mendapat bantuan yang sebegitu.

Asong Dungau, 76, dari Long Moh, Baram ketika ditemui berkata, bantuan itu amat bernilai bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti mereka.

“Saya pernah meminta bantuan E-Kasih namun tidak berhasil. Saya juga tidak mendapat bantuan beras untuk golongan miskin tegar yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini, walaupun saya patut menerima,” katanya sambil menjinjing tiga buah beg mengandungi mee hon, minyak masak dan gula.

Paya Jau, 77, dari Long Anyat, Baram pula menambah, setakat ini sudah dua kali PAS memberikan bantuan makanan kepada penduduk setinggan di situ.

“Kami berharap kerajaan dapat memberikan bantuan dan lebih prihatin dengan keadaan kami di sini yang begitu miskin dan daif,” katanya yang sudah lebih 30 tahun menetap di kawasan setinggan itu.

Tiada ulasan: