Isnin, 4 Julai 2011

Pelajar mati tergantung selepas terima saman trafik

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Seorang pelajar berusia 15 tahun dijumpai mati tergantung di rumahnya di Taman Bemban Utama, Jasin, Melaka petang kelmarin, selepas menerima saman polis kerana kesalahan trafik.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mayat M. Rajathurai, pelajar Sekolah Menengah Seri Bemban ditemui ibunya ketika membuka pintu bilik yang tidak berkunci.

S. Chinammah, 49, berkata dia terkejut dengan kejadian itu selepas beberapa jam anaknya menerima saman daripada polis atas kesalahan trafik yang dilakukannya.

“Semuanya bermula apabila saya meminta dia (Rajathurai) ke kedai untuk membeli barang tetapi menyuruhnya berjalan kaki atau berbasikal.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka anak saya menaiki motosikal milik rakan abangnya secara senyap untuk ke kedai,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Chinammah berkata dia hanya mengetahui anaknya itu disaman polis selepas kereta peronda datang ke rumahnya untuk mengambil Mykad.

Katanya, polis yang membawa anaknya itu turut memaklumkan Rajathurai ditahan di persimpangan taman perumahan kerana tidak memakai topi keledar dan tiada lesen memandu.

“Selepas memberikan Mykad, polis membawa anak saya ke balai berhampiran, kira-kira dua kilometer dari rumah dan di sana mereka mengeluarkan saman kepada anak saya.

“Saya menegur kesalahannya dan sepanjang perjalanan membawa dia pulang ke rumah dengan berjalan kaki, Rajathurai kelihatan seperti ketakutan dan hanya diam sehingga sampai di rumah,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia melihat anaknya itu ketika sedang makan nasi sebelum masuk ke biliknya untuk tidur kira-kira pukul 3 petang.

“Saya menjenguknya dua kali dan lihat dia sedang tidur, namun kira-kira pukul 5 petang ketika masuk semula ke biliknya untuk meminta pertolongan membeli kelapa, Rajathurai kelihatan tergantung di siling dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Tiada ulasan: