Jumaat, 1 Julai 2011

PAS Serah Aduan Kepada PAC, Siasat KP JKR

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad



KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyerahkan aduan kepada jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC) berhubung konflik terdapat dua ketua pengarah di Jabatan Kerja Raya (JKR).

Aduan itu diserahkan kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid.

Turut serta Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Menurut Mahfuz, aduan itu dibuat bagi menggesa PAC menyiasat pelanggaran prosedur lantikkan serta implikasi kewangan kerajaan kerana terpaksa membayar gaji kepada dua orang ketua pengarah.

Katanya tindakan itu merujuk kepada jawatan itu yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Datuk Mohd. Noor Yaacob.

Akhir April lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Datuk Seri Dr. Judin ditukar jawatan daripada Ketua Pengarah JKR kepada Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Tempatnya itu diisi oleh Datuk Mohd. Noor Yaacob iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II sebelum ini.

Bagaimanapun pertukaran itu ditolak Judin sekaligus menjadikan wujud dua ketua pengarah di jabatan itu. Menurut peraturan yang ada, pegawai Turus 3 seperti Judin berhak menolak sebarang pertukaran sebegitu jika beliau tidak bersetuju dengannya.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perlantikan dan pertukaran yang dibuat KSN itu melanggar, Perkara 134 Perlembagaan Persekutuan.

"Cara pelantikkan ketua pengarah yang baru dan cara peminjaman yang nak dibuat ke atas Datuk Judin ke atas CIDB tidak mengikut proses yang betul di mana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan." katanya.

Ia termasuk Fasal 12 dan 13 PU (A) 176 berkaitan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 dan Perkara 4(a) Bahagian II, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan KSN membohongi Yang di-Pertuan Agong dalam isu perlantikan itu.

Ujarnya lagi, KSN sepatutnya perlu mendapatkan persetujuan tiga pihak iaitu pihak yang hendak mengeluarkan pegawai, pihak yang hendak menerima dan pegawai itu sendiri sebelum menghadap Agong.

Sehubungan itu, beliau akan membuat satu laporan polis berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: