Rabu, 6 Julai 2011

Nik Aziz: ‘Agong umpama ibu bapa tempat rakyat adu keluh kesah’




KUALA LUMPUR — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin merakamkan “setinggi-tinggi” tahniah kepada baginda atas nasihat dalam perhimpunan anjuran Bersih 2.0 Sabtu ini.

Ahad lalu, baginda bertitah agar rakyat dan kerajaan menyelesaikan setiap isu termasuk Himpunan Bersih 2.0 menerusi perundingan.

Semalam, baginda perkenan menerima pertemuan sekretariat Bersih 2.0, sekali gus membawa kepada keputusan membatalkan perhimpunan di jalan sebaliknya hanya akan diadakan di stadium.

Baginda juga dilaporkan perkenan menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia dilihat kali pertama penganjur satu-satu perhimpunan terbuka mengadakan pertemuan dengan Istana Negara dan membawa kepada jalan penyelesaian.

Nik Aziz (gambar) juga berkata beliau juga mempersembahkan pendirian bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

“Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil telah diberi ampuni untuk menghadap Tuanku pada pagi ini (semalam) dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.

“Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin dalam Perlembagaan Malaysia,” kata Nik Aziz dalam surat terbukanya yang disiarkan oleh Harakah Daily hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS kini berada di Mekah untuk menunaikan umrah.

Beliau yang akan kembali ke tanah air pada Ahad ini mengutuskan surat itu sebagai respons kepada titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perhimpunan aman Bersih 2.0 Sabtu ini.

Surat itu bertarikh 5 Julai.

Kata Nik Aziz, “sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik.”

Nik Aziz juga berkata, Yang di-Pertuan Agong juga umpama “ibu bapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.”

“Semoga Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah s.w.t. dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata... di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah s.w.t.,” kata Nik Aziz.

Tiada ulasan: