Selasa, 19 Julai 2011

Najib temu Pope Benedict, jalin hubungan diplomatik formal

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER



Pope Benedict XVI menerima cenderamata daripada Najib Razak ketika kunjungan beliau di Castelgandolfo, Rom hari ini. – Foto Reuters
ROM – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengunjungi Pope Benedict XVI di sini hari ini, dengan kedua-dua Malaysia dan Vatican telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik secara formal bagi memperkukuhkan kerjasama, demikian menurut Wisma Putra.

Pertemuan berlangsung di Apostolic Palace, kediaman musim panas pemimpin penganut Katolik itu di Castel Gandolfo di pinggir Rom.

Sehubungan itu kata Najib, Malaysia telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik memandangkan ia berminat untuk berkongsi pengalamannya dan menggalakkan keamanan dan keharmonian dunia.

“Dunia berada di persimpangan,” kata beliau sambil menambah sikap-sikap tidak waras dan perbezaan pendapat mengancam kemakmuran dan kestabilan yang telah lama dibina dengan kerja keras.

Ini merupakan pertemuan kedua antara seorang Perdana Menteri Malaysia dan seorang Pope selepas pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pope John Paul pada Jun 2002.

Pope adalah pemerintah Vatican City State dan the Holy See.

Holy See merupakan kerajaan yang mentadbir gereja Katolik di seluruh dunia dan beroperasi dari Vatican City State, yang merupakan sebuah wilayah bebas dan berdaulat terletak di satu kawasan seluas 0.44 km persegi.

Najib, yang membawa bersamanya rombongan terdiri pemimpin pelbagai agama, kemudian mengadakan perbincangan peringkat delegasi dengan Setiausaha Negara bagi Holy See, Cardinal Tarcisio Bertone.

Laporan Bernama Online menyebut rombongan Perdana Menteri termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok serta Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dan Ketua Biskop Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam.

1 ulasan:

Abu Idris berkata...

arrayah.info - Apa Perlunya Mohd Najib Bertemu Pope (Ketua Agama Kristian)?