KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 pembeli rumah di Alam Perdana, Kuala Selangor kini mampu menarik nafas lega apabila projek yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu akan disiapkan sepenuhnya akhir tahun ini.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemaju kini sedang menyiapkan kerja-kerja akhir seperti melakukan kemasan dan penyambungan paip, sebelum kunci diserahkan kepada pembeli.
Katanya, pembeli juga diberi pilihan untuk menjual rumah mereka kepada pemaju pada harga semasa.
“Bagaimanapun, mereka hanya boleh menjualnya selepas rumah ini siap sepenuhnya. Pemaju akan membeli mengikut harga pasaran semasa dan kerana itulah kita mengarahkan pemaju menjaga kualiti supaya rumah ini boleh dijual pada harga tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Khalid berkata, walaupun projek tersebut diambil alih kerajaan negeri dan diberi nafas baru, harga rumah tetap dikekalkan pada harga ketika rumah itu dijual kira-kira 10 tahun lalu.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengambil tanah tapak projek Alam Perdana kerana pemaju gagal menyiapkan projek itu dan tidak membayar premium tanah ketika penukaran status guna tanah dari pertanian kepada pembangunan.
Pemaju Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn. Bhd (LBCN) bagaimanapun bersetuju untuk meneruskan projek berkenaan tetapi perlu membayar RM41 juta kepada Tabung Projek Terbengkalai Negeri Selangor sebagai cagaran.
LCBN juga bersetuju untuk membayar tunggakan bayaran kepada 383 peneroka asal tanah berkenaan sekiranya mendapat keuntungan hasil dari projek yang dipulihkan itu dan memberi jaminan untuk menyiapkan projek perumahan Alam Perdana di Kuala Selangor, yang terbengkalai sejak sedekad lalu.
Mereka juga diberi tempoh enam hingga 18 bulan untuk menyiapkan projek tersebut, kata beliau.
Justeru, Khalid berkata, kerajaan negeri tidak mendapat sebarang keuntungan dari pemulihan projek terbengkalai ini.
“Ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri terhadap rakyat yang telah lama menderita dan menanggung kesusahan kerana perlu membayar pinjaman setiap bulan kepada bank sedangkan rumah tidak siap,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan