Ahad, 17 Julai 2011

Lim: Pulau Pinang perkenal Program Anak Emas, insentif RM100

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Pulau Pinang menimbang untuk memberi bayaran RM100 menerusi Program Anak Emas bagi bayi-bayi baru lahir mulai tahun ini.

Bayaran wang tunai akan dibuat kepada salah seorang ibu bapa yang merupakan pengundi Pulau Pinang, kata ketua Menteri Lim Guan Eng (gambar).

“Kerajaan negeri Pakatan Rakyat menimbang memberikan RM100 wang tunai 'one-off' kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang mulai tahun ini, di mana salah seorang ibu bapa merupakan pengundi Pulau Pinang.

“Program Anak Emas Pulau Pinang akan mensyaratkan pengesahan bahawa pendapatan isi rumah keluarga tidak boleh melebihi RM4,000 sebulan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Lim, kejayaan Program Penghargaan Warga Emas RM100 setiap tahun dan RM1,000 ‘one-off’ urusan jenazah kepada waris warga emas dilancarkan oleh kerajaan negeri tahun lalu demi mengenang jasa bakti sumbangan warganegara yang melebihi 60 tahun kepada pembangunan negeri, telah menyebabkan beberapa pihak mencadangkan bahawa kerajaan negeri menimbang pula golongan yang baru lahir.

“Sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat, kerajaan negeri Pakatan Rakyat anggap pemberian RM100 kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang adalah satu cadangan baik.

“Sungguhpun pemberian 'one-off' RM100 oleh kerajaan negeri PR adalah kecil, ia adalah untuk meraikan tambahan anak Pulau Pinang yang baru,” katanya lagi.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata sebanyak RM20 juta setiap tahun telah dibelanjakan untuk program penghargaan warga emas dan waris mereka.

“Sungguhpun program penghargaan emas ini cuba disabotajkan oleh parti pembangkang BN, usaha sabotaj mereka gagal dengan kadar pendaftaran kini melebihi 87 peratus engan hampir 115,000 warga emas Pulau Pinang mendaftarkan diri,” katanya lagi.

Katanya, sumber kewangan program baru Anak Emas Pulau Pinang ini adalah sama dengan program penghargaaan warga emas iaitu datang daripada penjimatan hasil kejayaan kerajaan negeri menjalankan kempen antirasuah yang dipuji oleh Transparency International.

“Program baru ini akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco Negeri Pulau Pinang pada minggu ini dan dijangkakan makan perbelanjaan antara RM5 hingga RM10 juta setiap tahun,” katanya.

Tiada ulasan: