Sabtu, 23 Julai 2011

Kes Teoh: SPRM tubuh pasukan khas siasat tohmahan atas tiga pegawai

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas siasatan berhubung tohmahan ke atas tiga pegawainya termasuk seorang bertaraf pengarah ekoran hasil laporan suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian bekas setiausaha politik DAP, Teoh Beng Hock dua tahun lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, SPRM juga berkata, sementara hasil laporan susulan tersebut diperolehi, tiga pegawai yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja itu akan dilucutkan atau dikecualikan daripada sebarang tugas operasi siasatan.

Malah kata SPRM, pihaknya tidak akan bertolak ansur atau melindungi mana-mana pegawai yang didapati bersalah melakukan apa-apa kesalahan jenayah atau tatakelakuan.

“(SPRM) akan menubuhkan satu pasukan khas siasatan berhubung tohmahan ke atas ketiga-tiga pegawai tersebut. Pasukan ini diketuai oleh Datuk Zakaria Jaffar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) yang akan menjalankan siasatan susulan dalaman yang menyeluruh serta menyediakan laporan yang komprehensif,” kata kenyataan itu.

Suruhanjaya diraja siasatan berkata Teoh ‘terganggu’ ekoran sikap tiga pegawai SPRM yang dilabel sebagai “Arman yang membuli, Ashraf salah guna (kuasa) dan HH pemimpin yang angkuh.”

Malah, ia juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM di Selangor sebagai terbuka kepada pembohongan.

Ketiga-tiga mereka yang dinamakan ialah bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim, dua pegawainya Arman Alies dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Hishammuddin kini bertugas sebagai pengarah SPRM Negeri Sembilan.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai pegawai soal siasat kes Teoh dalam laporan suruhanjaya itu, sebagai pihak yang ‘menundukkan’ Teoh ketika sesi soal siasat empat peringkat, yang bermula 15 Julai sehingga keesokan pagi.

Dalam kenyataannya SPRM memberi jaminan hasil laporan yang disediakan kelak akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Aduan yang terdiri daripada empat orang individu bebas, yang dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan.

Malah jelas SPRM, merujuk kepada kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazi Aziz yang meminta pihak polis menjalankan siasatan mengenai salah laku tiga pegawai terbabit, pihaknya akan menyerahkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa itu dalam menjalankan siasatan berkaitan secara bebas dan telus.

“SPRM tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang melanggar peruntukkan undang-undang atau melakukan sebarang perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang,” kata SPRM lagi.

Kenyataan ini dikeluarkan tiga hari selepas pengumuman kandungan laporan suruhanjaya diraja kepada umum oleh Nazri.

SPRM menambah, ia menerima dan memandang serius terhadap cadangan-cadangan penambahbaikan yang dinyatakan dalam laporan suruhanjaya siasatan yang telah dikeluarkan Khamis lalu.

Katanya, beberapa cadangan dalam suruhanjaya tersebut telah dan sedang diambil tindakan seperti pemasangan kamera litar, mewujudkan ‘video interview room’, semua pelanggan dilayan di aras bawah bagi bangunan milik SPRM dan pelanggan sentiasa diiringi semasa berada dalam premis SPRM.

“Cadangan lain akan terus diteliti dan diambil tindakan penambahbaikan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Suruhanjaya diraja yang memutuskan Teoh membunuh diri mendapati bekas setiausaha politik itu mengalami perubahan pada mindanya berikutan keraguan, konflik dan emosi keterlaluan yang disumbangkan oleh beberapa faktor.

Dalam kenyataannya kelmarin, Nazri berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Nazri berkata hasil siasatan suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

Tiada ulasan: