Ahad, 3 Julai 2011

Kes bunuh Sosilawati mula esok

THE MALAYSIAN INSIDER




SHAH ALAM — Perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain akan berlangsung selama tiga bulan di Mahkamah Tinggi di sini bermula esok.

Perbicaraan kes itu, yang mendapat perhatian umum dan liputan meluas media, akan didengar di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dengan kira-kira 50 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan, demikian menurut laporan Bernama Online.

Kes itu membabitkan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan, yang mengaku tidak bersalah membunuh Sosilawati, 47 (gambar), pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot no 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada 30 Ogos tahun lepas.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Perbicaraan kes itu sedikit sebanyak mengurangkan keresahan anggota keluarga kesemua mangsa yang telah menunggu hampir setahun untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku ke atas mereka yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting atas urusan pembelian tanah.

Misteri kehilangan keempat-empat individu itu terungkai pada 12 Sept tahun lepas apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar, manakala abunya dicampak ke sebatang sungai berhampiran.

Pada 21 Februari lepas, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas dua pekerja ladang, K.Sarawanan dan U.Suresh kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin pada prosiding rayuan dan semakan yang difailkan terhadap hukuman asal mereka yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, 15 Okt tahun lepas.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki, dalam melaksanakan kuasanya di bawah Kanun Acara Jenayah untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, meningkatkan hukuman penjara ke atas dua orang itu dari tujuh kepada 20 tahun selepas beliau mendapati majistret silap mengenakan hukuman penjara tujuh tahun bagi jenayah yang disifatkannya sebagai “amat serius”.

Sarawanan, 20, dan Suresh, 27, masing-masing dijatuhi hukuman penjara berjumlah 28 tahun setelah mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok di Banting atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan keempat-empat mangsa.

Sarawanan mengaku membakar mayat mangsa di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos tahun lalu sementara Suresh mencampakkan abu mayat mangsa ke Sungai Panchau di Jalan Morib, Banting, pada 31 Ogos tahun lepas.

Majistret Hurmain Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, yang bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun.

Namun, Mohtaruddin mengurangkan hukuman penjara ke lima tahun bagi setiap tuduhan, tetapi memerintahkan hukuman berjalan secara berturut-turut.

Difahamkan, pihak pendakwaan dijangka memanggil Sarawanan dan Suresh untuk memberi keterangan.

Tiada ulasan: