Saya menyambut baik kenyataan terbuka Zeti Akhtar Aziz bahawa masalah inflasi di Malaysia perlu diberi perhatian serius seperti yang dilaporkan oleh Reuters pada 25 Julai 2011. Kenyataan beliau yang berterus terang mengenai masalah kenaikan harga barang yang ditanggung oleh rakyat itu sangat berbeza dengan dolak dalih pimpinan Barisan Nasional yang sehingga kini tidak mahu menerima kenyataan bahawa kenaikan harga barang yang mendadak adalah satu masalah serius di negara ini.
Pun begitu, tindakan Bank Negara Malaysia yang dijangkakan akan menaikkan kadar pinjaman asas/kadar faedah dalam masa terdekat untuk berdepan dengan masalah inflasi akan juga membawa kesan kepada golongan muda dan yang berkeluarga, sekiranya tindakan itu tidak disusuli dengan bantuan yang khusus kepada mereka.
Contohnya, kenaikan sebanyak 25 mata asas (25 basis point) akan meningkatkan beban bayaran bulanan pinjaman rumah yang ditanggung oleh golongan muda. Rata-rata golongan muda masih lagi menanggung pelbagai hutang seperti hutang rumah dan hutang kereta.
Bagi mereka yang mempunyai hutang pinjaman rumah sejumlah RM280,000 (iaitu kos rumah sederhana di bandar dan separa bandar), kenaikan 25 mata asas kadar pinjaman akan meningkatkan bayaran sekurang-kurangnya RM50 sebulan. Peningkatan ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya jumlah hutang adalah lebih tinggi.
Kesan berganda daripada peningkatan ini; apabila dicampur dengan kenaikan hampir sekali ganda bil elektrik bagi isi rumah yang bilnya melebihi RM77 sebulan, kenaikan harga minyak, kenaikan makanan, kos persekolahan anak-anak dan sebagainya sudah memuncak ke peringkat yang benar-benar membebankan golongan muda; apatah lagi bila mana gaji tidak meningkat selari dengan kenaikan harga barang.
Walaupun tindakan konvensional mana-mana bank pusat dalam keadaan ini adalah menaikkan kadar pinjaman, sewajarnya pimpinan kerajaan Barisan Nasional juga mengambil langkah drastik mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat. Ini termasuklah mengkaji semula pemotongan peruntukan kepada sekolah-sekolah sehingga menyebabkan kos persekolahan naik mendadak apabila ibu bapa terpaksa menyumbang kepada sekolah untuk menjalankan aktiviti dan mengambil langkah lebih proaktif menyelesaikan masalah harga rumah yang terlalu tinggi bagi golongan muda di bandar dan separa bandar.
Langkah yang diambil melalui Skim Rumah Pertama tidak lebih dari melepaskan batuk ditangga kerana ia tidak menyelesaikan masalah asas iaitu harga rumah yang terlampau tinggi, sebaliknya hanya menyediakan jaminan wang cengkeram yang hanya menambah hutang pembeli.
Undi golongan muda adalah undi penentu dalam PRU13, jadi sewajarnya apa-apa tindakan yang merugikan golongan muda dikaji semula oleh Barisan Nasional.
*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli (gambar kiri), selaku Pengarah Strategi PKR.
Selasa, 26 Julai 2011
Inflasi yang mendadak: Golongan muda akan terus terbeban dengan kenaikan kadar faedah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan