Isnin, 18 Julai 2011

Husam: Terengganu jadi bukti penipuan SPR

"Statistik PRU ke-11 bagi Terengganu tidak masuk akal kerana pengundi baru bertambah sebanyak 62 peratus iaitu tertinggi di dunia," kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.



PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya umum (PRU) 2004 di Terengganu menjadi bukti penipuan yang meluas dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

“Statistik PRU ke-11 bagi Terengganu tidak masuk akal kerana pengundi baru bertambah sebanyak 62 peratus iaitu tertinggi di dunia,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Katanya, dalam pilihan raya tersebut, peratusan undi Umno bertambah 62 peratus tetapi undi PAS merosot lima peratus.

Menurut Husam, pertambahan pengundi muda yang baru didaftarkan pun tidak sama dengan jumlah pertambahan pengundi dalam tahun 2004.

“Dalam keputusan PRU ke-11 itu, terdapat tujuh undi di negeri Terengganu yang tidak boleh disahkan, berbeza dengan jumlah yang terdapat dalam daftar pemilih.

“Ada tujuh undi (itu) yang menunjukkan ada dua kali mengundi, seorang mengundi dua kali atau tiga kali,’ tegas Husam.

Beliau menambah, oleh kerana itu Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) menuntut kerajaan dan SPR supaya setiap pengundi dicap jarinya menggunakan dakwat kekal.

Cap jari

Dengan itu katanya, apabila seorang pengundi sudah dicap jarinya, akan hanya mengundi sekali sahaja dan tidak boleh mengundi sekali lagi di tempat lain.

Ahli Exco kerajaan negeri Kelantan mendakwa, Umno takut untuk melaksanakan tuntutan tersebut kerana sekiranya ia dapat dilaksanakan, Umno akan kalah di seluruh negara.

“Kalau tiap-tiap pengundi (membuang) undi sekali satu orang, Umno akan ‘ranap’ di seluruh negara, ini (sebab) Umno takut, ini talian hayat Umno,”ujarnya.

Beliau menolak hujah Umno yang mendakwa PAS menang di beberapa negeri dan kawasan adalah bukti menunjukkan pilihan raya berjalan dengan adil.

Sedangkan kata beliau, penipuan terus berlaku dan sedang dilakukan oleh Umno dan SPR khususnya di negeri Selangor pada ketika ini.

“Penipuan masih berlaku dan penipuan akan terus berlaku secara besar-besaran, di Selangor sekarang telah didaftarkan puluhan ribu orang-orang daripada Sabah dengan I.C (nombor kad pengenalan) 12,” hujahnya.

Katanya, minggu lalu, PAS telah membantah seramai 660 orang dari Sabah yang diangkut dan didaftarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri Selat Kelang untuk menjadi pengundi di kawasan itu.

Tiada ulasan: