KUALA LUMPUR — Polis menubuhkan enam jawatankuasa yang diketuai seorang pegawai kanan bagi menyiasat enam dakwaan kezaliman pihak berkuasa itu ketika bertugas menangani perhimpunan 9 Julai lalu.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar di Genting Highlands hari ini.
Sabtu lalu, Polis Kuala Lumpur berkata pihaknya mengadakan pasukan khas siasatan berhubung insiden Hospital Tung Shin dan kematian Baharuddin Ahmad.
Dipetik Bernama Online, kata Khalid, pihaknya juga mahu orang ramai menyerahkan mereka rakaman video berkaitan perhimpunan 9 Julai lalu untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan kempen anjuran Bersih 2.0 itu.
Khalid berkata, kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar kejadian yang berlaku setelah banyak pihak mendakwa kekasaran polis semasa menangani perhimpunan itu.
“Kita akan siasat secara telus, terperinci dan polis tidak akan sembunyikan apa-apa fakta yang benar,” kata beliau.
Pentadbiran Najib sebelum ini mempertahankan tindakan polis menangani perhimpunan 9 Julai lalu, yang menurut penganjur Bersih 2.0 dihadiri oleh 50,000 orang.
Bagaimanapun menurut polis ia hanya dihadiri oleh 6,000 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan