KUALA LUMPUR — Menteri Sumbar Manusia Datuk Dr S. Subramaniam memberi jaminan pekerja dan majikan tidak akan diabaikan dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan gaji minimum ekoran rasa tidak puas hati yang mula wujud.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bersatu suara menggesa Putrajaya mengkaji semula rang Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 kerana ia akan mengehadkan bidang kuasa majikan.
Mereka merasakan Subramaniam (gambar) sudah bertindak melampaui kuasa dalam pelaksanaan undang-undang baru itu dengan MEF mengatakan pihaknya tidak berpuas hati kerana menteri boleh meminda atau membatalkan mana-mana perintah mengenai gaji minimum dengan arahan kerajaan bila-bila masa.
“Ia adalah semangat rundingan keseluruhannya,” kata Subramaniam kepada The Malaysian Insider.
“Kami akan memberi yang terbaik ke atas pandangan mereka kerana mereka adalah pemegang amanah... ia adalah semangat akta yang mana kerajaan akan memberi panduan kepada keputusan majlis,” tegasnya.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa rang undang-undang itu adalah satu tindakan yang sia-sia kerana kerajaan masih mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar gaji minimum.
Walaupun ia agak membimbangkan banyak pihak, namun pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tetap membentangkannya di Parlimen bulan lalu dalam usaha melaksanakan kadar gaji minimum.
MTUC dan MEF juga tidak bersetuju dengan jumlah keanggotaan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara yang menampakkan seolah-olah wakil pekerja dan majikan adalah “golongan minoriti” dalam membuat keputusan sedangkan ia berkaitan dengan majikan-pekerja.
Daripada 29 anggota majlis wakil pekerja dan majikan masing-masing mempunyai lima orang, malah mereka tidak semestinya mewakili MTUC dan MEF.
Subramaniam berkata MTUC dan MEF mencadangkan untuk menambah bilangan ahli dan ia boleh dibincangkan tetapi menegaskan: “Kita sepatutnya mengetepikan segala rasa bimbang dan bergerak ke hadapan. Kita boleh memperkuatkan mekanisme ini selagi kita bersama.”
Selain itu, MTUC juga tidak bersetuju dengan tarikh pelaksanaan gaji minimum - yang akan dikuatkuasakan berdasarkan budi bicara kerajaan mengikut sektor, wilayah dan pekerjaan.
Badan itu mahu dasar gaji minimum kebangsaan yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negara.
“Keputusan itu terletak di tangan majlis, sama ada (ia akan menjadi) mengikut sektor, wilayah atau sebaliknya,” jawab Subramaniam.
Menurut rang undang-undang itu, Majlis Perundingan Gaji Negara akan bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan gaji minimum termasuk berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan.
Majlis itu terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan, seorang setiausaha, sekurang-kurangnya lima ahli dari sektor awam, sekurang-kurangnya lima wakil majikan dan lima lagi masih belum dilantik - semuanya akan dilantik oleh menteri sumber manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan