Adakah Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein berani untuk mengharamkan PERKASA sebagaimana beliau telah mengharamkan BERSIH atau menangkap Senator UMNO, Ezam Mohamad dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sepertimana juga polis telah menahan Ahli Parlimen Sungai Siput, Michael Jeyakumar Devaraj di bawah Orninan Darurat bagi membuktikan pihak polis tidak mengamalkan "double-standard" atau pilih kasih?
DAP mempersoal desakan Hishammuddin bahawa pihak berkuasa akan bertindak adil dalam menghentikan semua perhimpunan walaupun hanya mengaharamkan kumpulan reformasi pilihanraya BERSIH, apabila tiada tindakan diambil terhadap UMNO dan PERKASA yang menganjurkan demonstrasi ganas di Pulau Pinang pada 1 Julai 2011. Mengapakah Hishammuddin tidak menahan Ezam di bawah Ordinan Darurat atas ancaman beliau bahawa tidak perlu tunggu pilihanraya umum dan beliau mahu mengadakan lebih banyak bantahan bagi memaksa saya untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri?
Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas salah seorang wartawan, jurugambar dan juruvideo oleh penunjuk perasaan semasa perhimpunan ganas dan haram yang diadakan di pusat Bandar George Town dan di atas Jambatan Pulau Pinang. Pewaju mempersoalkan kenapa pihak polis tidak mengambil tindakan undang-undang dan gagal mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menghentikan demonstrasi walhal mereka telah maklum akan hal tersebut sehari sebelumnya.
Persoalan juga timbul kenapa pihak polis begitu berwaspada dalam mengetatkan kawalan di perhimpunan BERSIH 2.0, yang belum berlaku, dan tidak cekap dalam menghentikan perhimpunan haram oleh UMNO dan PERKASA yang telahpun berlaku. Apa yang mengejutkan adalah kenyataan Pewaju bahawa serangan ke atas wartawan tersebut berlaku di hadapan mata pihak polis, tetapi malangnya penguatkuasaan undang-undang tidak berdaya dan tiada harapan untuk menghentikan serangan tersebut. Ketidakcekapan pihak polis dipersoalkan di mana integriti, kecekapan dan kreadibiliti mereka untuk melindungi rakyat Malaysia menjadi persoalan.
DAP menyokong demonstrasi aman tetapi mengutuk sekeras-kerasnya demonstrasi ganas. Kegagalan pihak polis untuk bertindak ke atas demonstrasi ganas oleh UMNO dan PERKASA, menberi tanggapan bahawa jelas terdapat "double-standard" dan pilih kasih.
Penangkapan Jeyakumar dan lima ahli PSM yang lain di bawah Ordinan Darurat adalah tidak adil kerana kegagalan untuk mengemukakan sebarang bukti bahawa dia telah melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan negara. Tuduhan menyebarkan fahaman komunis adalah tidak masuk akal apabila Malaysia sememangnya telah lama mengadakan hubungan akrab dengan negara-negara komunis seperti Cuba, China dan Vietnam. Jika tidak mahu Khairy Jamaluddin ditahan dan didakwa kerana cuba menghidupkan semula fahaman komunis dengan penubuhan sebuah jawatankuasa tetap pada 12 Oktober 2009 untuk mengukuhkan hubungan antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Belia Komunis China (Communist Youth League of China). Ketua Pemuda Barisan, Khairy Jamaluddin berkata sekretariat tetap adalah untuk memudahkan hubungan dua hala yang berterusan dan menggalakkan ikatan yang lebih kukuh antara kedua-dua entiti.
Jelas sekali, penyokong BERSIH yang ditahan minggu lalu dan serbuan sekretariat pada Rabu lalu hanya dijadikan mangsa Kerajaan BN, apabila mereka tidak menganjurkan sebarang demonstrasi walhal demonstrasi UMNO dan PERKASA dibenarkan berlangsung tanpa sebarang hukuman. Tindakan ini adalah tidak adil dan hanya mencemari imej Malaysia di mata dunia dan rekod kerana tidak mengamalkan apa yang dipegang dalam menghormati hak asasi kemanusiaan.
*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiauasaha Agung DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan