ROKET KINI.COM
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia mesti menghentikan serta-merta tindakan zalim menekan rakyat bagi menghormati dan mematuhi keputusan bijaksana Yang di-Pertuan Agong yang telah mengiktiraf perhimpunan aman Bersih 2.0.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata pihak polis harus kembali menjalankan tugas utama mereka memastikan keselamatan setiap warga negara terjamin bebas dari jenayah yang sebenar.
“Polis juga mesti menarik semula pengharaman terhadap Bersih dan Bersih 2.0 serta memastikan berpuluh ribu baju-T Bersih boleh terus dicetak dalam masa tiga hari ini untuk perhimpunan Bersih 2.0 di stadium pada Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mahu polis membebaskan tanpa syarat semua yang ditahan atas nama Bersih 2.0. termasuk mereka yang ditangkap semata-mata kerana memakai baju-T Bersih serta baju-T berwarna kuning.
Beliau juga mendesak polis supaya menggugurkan tuduhan tidak masuk akal di bawah Ordinan Darurat terhadap Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan lain-lain ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan baru-baru ini.
“Campur tangan Yang di-Pertuan Agong secara bijaksana dan adil yang membuahkan persetujuan bersama untuk mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Sabtu ini di sebuah stadium telah menyelamatkan maruah Malaysia.
“Maruah Malaysia telah terselamat daripada mala petaka dan malu besar di dalam dan luar negara akibat tindakan keloloh sebuah kerajaan demokratik yang menganggap perhimpunan aman untuk pilihan raya bebas, adil dan bersih sebagai satu ancaman besar, yang dianggap lebih bahaya dari ancaman pengganas, dalam sejarah negara,” katanya.
Lebih penting lagi, menurut Kit Siang, Malaysia terselamat daripada malu besar di peringkat antarabangsa kerana kedudukan dan kelayakannya sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mungkin dipersoalkan, malah dikutuk oleh negara anggota PBB lain kerana bertindak zalim terhadap hak-hak asasi rakyat di Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam menerima menghadap tiga pemimpin Bersih 2.0, Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia Zaid Kamaruddin.
Berikutan pertemuan itu, Bersih 2.0 menerima cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya perhimpunan aman menuntut pilihan raya bebas, adil dan bersih diadakan di sebuah stadium.
Walau pun keputusan serta pandangan Seri Paduka itu mencerminkan Bersih 2.0 adalah pertubuhan dan perhimpunan aman yang sah, Najib dilaporkan enggan menjelaskan pendirian kerajaan yang sebelum ini telah mengharamkan Bersih dan Bersih 2.0.
Beliau dilaporkan berkata menyerahkan kepada polis sama ada mahu meneruskan tangkapan dan tekanan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan Bersih 2.0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan