Rabu, 13 Julai 2011

BERSIH: PAS mahu demo sekali lagi jika...

Jimadie Shah Othman


PAS mahu perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil diadakan sekali lagi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memenuhi tuntutan mereka dalam masa terdekat.

NONETimbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (kiri) berkata, parti itu akan mendesak pihak BERSIH 2.0 sekali lagi menganjurkan perhimpunan itu.

"SPR perlu perubahan. Kalau tidak selesai menjelang pilihan raya, kita akan cadang BERSIH adakan perhimpunan sekali lagi.

"Tentang lapan tuntutan itu, empat daripadanya boleh dilakukan SPR. Jangan berdolak-dalik," katanya.

Ditanya sama ada PAS berhasrat menganjurkan perhimpunan itu sendiri sekiranya BERSIH tidak berminat, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan dengan gabungan 62 NGO itu dari masa ke semasa.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Mohamad berkata, pihaknya tiada masalah menerima kekalahan sekiranya pilihan raya dapat berlangsung dengan adil dan bersih.

Sabtu 'hari kuning'

"Kalau BN hendak menang, menanglah... Yang kita tidak mahu (adalah) penipuan," kata penceramah popular yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu itu.

NONEBagi meneruskan agenda menuntut reformasi sistem pilihan raya, Mohamad juga berkata pihaknya akan mencadangkan supaya setiap Sabtu dijadikan hari memakai baju BERSIH dan baju kuning.

Ditanya tentang pemakaian baju itu yang masih dilarang pihak polis, sambil tersenyum Mohamad berkata:

"(Ia) haram pada Umno, bukan haram dari segi undang-undang."

Turut hadir dalam sidang media itu, tiga jawatankuasa pusat PAS Khalid Samad, Dr Dzulkifly Ahmad dan Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam berkata, terdapat beberapa tuntutan BERSIH yang boleh dilaksanakan dengan segera tanpa perlu bertangguh.

"(Sistem) biometrik ini tidak tahu lagi bila. Sekarang ini bagi celup jarilah dahulu (dalam dakwat kekal). Itu boleh buat serta-merta," katanya.

Tiada ulasan: