Isnin, 11 Julai 2011

BERSIH BERJAYA!

KomentarRoketkini


Walau cuba ditipu, dibohongi dan dimomok oleh kerajaan UMNO-BarisanNasional, rakyat Malaysia tidak mudah diperdayakan.

Walau diancam, diugut dan dizalimi pihak berkuasa yang menjadi alat kerajaan UMNO-BN, rakyat Malaysia tidak takut dengan gertakan.

Walau terpaksa berdepan dengan gas pemedih mata, pancutan meriam air dan bantaian cota polis, rakyat Malaysia tidak gentar dengan keganasan pihak berkuasa.

Walau berita palsu disebarkan oleh media arus perdana milik kerajaan UMNO-BN, rakyat Malaysia tidak lagi percaya dengan tohmahan dan fitnah yang disebarkan oleh pemimpin politik yang sedang nazak di puncak kuasa.

Daripada ratusan ribu yang amat berani melangkah ke medan perjuangan di Kuala Lumpur hari ini, jutaan lagi rakyat Malaysia menumpahkan air mata gembira melihat perubahan yang sedang berlaku di ibu pertiwi tercinta.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 menjadi medan keganasan pihak berkuasa. Tetapi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak pula berdendam kesumat benci walau ada yang parah dipukul polis dan ramai pula yang disumbatkan ke dalam lori-lori polis.

Baik yang berpangkat tinggi dalam politik mahu pun yang marhaen, tua dan muda, lelaki dan perempuan, rakyat Malaysia berbagai bangsa dan kaum tidak lagi takut dengan ancaman kerajaan UMNO-BN yang terlalu angkuh dengan kuasa yang sedikit itu.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 telah terbukti berjaya.Perhimpunan aman yang menjadi tonggak kebebasan rakyat menyuarakan isi hati terhadap kerajaan yang zalim dan bongkak.

Memorandum tuntutan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih telah Berjaya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, walau pun ramai penganjur Bersih 2.0 telah ditahan pihak berkuasa lebih awal hari ini.

Perjuangan Bersih 2.0 memang Berjaya tetapi ia belum selesai. Selagi pilihanraya masih dikongkong, kotor dan tidak adil, selama itu juga perjuangan Bersih dalam bentuk-bentuk yang dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan perlu diteruskan.

Rakyat mahu kepada perubahan kuasa untuk membolehkan sebuah kerajaan baru dibentuk secara adil, bersih dan demokratik. Caranya bukan dengan rampasan kuasa atau apa-apa cara lain yang tidak demokratik, kecuali melalui pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.

Maka itu Bersih menuntut pilihanraya yang bebas, bersih dan adil untuk memastikan hanya yang benar-benar layak menjadi kerajaan dapat dipilih secara terhormat dan bertamadun.

Tahniah buat Bersih 2.0. Kepada mereka yang berada di ibukota pada 9 Julai 2011 untuk menyuarakan hasrat rakyat, jutaan terima kasih buat mereka atas keberanian, keikhlasan dan kejujuran dalam memperjuangkan keadilan, demokrasi dan kebebasan.

Tiada ulasan: