Amerika Syarikat memandang berat pendekatan ganas yang dilakukan pihak berkuasa ketika perhimpunan aman anjuran Bersih Sabtu lalu dan berkata, ia akan memantau perkembangannya.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Mark Toner berkata, rakyat Malaysia sepatutnya dibenarkan berhimpun dan menyatakan pendapat dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
“Kami berpendirian adalah hak rakyat untuk secara bebas menyatakan aspirasi demokratik mereka dan menyatakan pendapat mereka secara bebas,”
“Saya menegaskan bahawa ia adalah perhimpunan aman. Jadi kami prihatin; kami akan terus meninjau keadaan secara dekat,” katanya seperti dilapor BBC.
Sementara itu, badan Pemantau Antarabangsa Human Rights Watch (HRW) pula menggesa siasatan terbuka dengan segera diambil, berhubung pendekatan keras pihak polis.
Ia termasuk siasatan terhadap kematian seorang peserta akibat serangan gas pemedih mata dan kelewatan bantuan oleh pasukan perubatan.
Timbalan pengarah rantau Asia Human Rights Watch, Phil Robertson, berkata, pentadbiran Najib juga perlu menghentikan segala bentuk ugutan dan tindakan
menakutkan penganjur, dan pada masa yang sama membebaskan kesemua mereka yang ditahan.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) menyelar Malaysia kerana menggunakan pendekatan keras dalam himpunan Bersih, termasuk menangkap lebih 1,600 rakyat yang berhimpun.
Pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan bersuara berkata, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengisytihar perhimpunan itu sebagai haram, menutup bandaraya dan bertindak ganas, menunjukkan Malaysia memperlekehkan demokrasi.
Sementara itu, terdapat desas desus mengatakan Perdana Menteri Britain, David Cameron membatalkan majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini- berikutan tekanan antarabangsa.
Laman-laman blog turut mendakwa tidak ada hamparan karpet merah ketika Najib tiba ke negara itu, malah kedatangannya juga tidak disambut Cameron di lapangan terbang Farnborough, London.
Sebaliknya Najib disambut Wakil Khas Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel John Mcdonald, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong.
Najib dijadual melakukan lawatan rasmi ke United Kingdom, atas jemputan Cameron, bermula 12 hingga 15 Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan