Khamis, 14 Julai 2011

Bersih 2.0 :Tung Shin "Mangsa" Sindrom Penafian Kerajaan, Kata Tian

Ditulis oleh Radzi Razak


KUALA LUMPUR : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua menyifatkan kenyataan Hospital Tung Shin menafikan hospital itu menjadi sasaran tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia polis pada perhimpunan Bersih Sabtu lalu sebagai hasil tekanan kerajaan.

Penafian oleh Lembaga Pengarah hospital itu dibuat ekoran pertemuan mereka dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai Isnin lalu.

Tian berkata ratusan rakyat menjadi saksi dan menyaksikan apa sebenarnya yang berlaku hari itu di Hospital Tung Shin apabila Polis mengepung peserta Bersih yang berlindung di kawasan hospital berkenaan.

"Saya anggap mereka (Kerajaan) cuba intimidasikan pihak hospital. Yang mereka tidak boleh tukar ialah kenyataan yang berlaku. Ratusan rakyat yang ada di Hospital (Tung Shin) dan kita ada video dan gambar.

"Apa yang Liow Tiong Lai atau Chua Soi Lek cakap... pihak Tung Shin tak kan menafikannya," kata Tian ketika dihubungi TV Selangor.

Presiden MCA Dr Chua Soi Lek kelmarin mendakwa gambar dan video rakaman tentang Polis menembak gas pemedih mata kedalam kawasan Hospital Tung Shin tidak semestinya menceritakan kejadian yang sebenar kerana ianya boleh dimanipulasi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Ng Beh Tong pula semalam menafikan dakwaan sebuah berita portal bahawa gas pemedih mata dan meriam air yang dilepaskan oleh polis untuk meleraikan perhimpunan haram Sabtu lepas, memasuki kawasan hospital itu sebepas bertemu dengan Tiong Lai.

Tian yang turut menyertai dan ditangkap pada himpunan Sabtu lalu menyifatkan pembohongan Kerajaan Pusat hanyalah menipu diri sendiri sedangkan laporan sebenar tersebar di internet dan media asing.

"Mereka (Kerajaan) seperti burung unta yang menanam kepala sendiri ke dalam pasir kerana cuba menafikan rakyat telah bangkit menuntut Pilihan Raya bersih dan telus.Mereka cuba nafikan bahawa polis telah lakukan kekerasan terhadap orang awam. Ini tidak akan mengubah apa yang terpahat di kepala rakyat yang hadir pada hari itu," tegas beliau.

Tiada ulasan: