Saya mengecam penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput, Michael Jeyakumar Devaraj bersama lima yang lain di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1) Ordinan Darurat. Selain Ahli Parlimen Sungai Siput, turut ditahan adalah M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu. Peruntukan tersebut membolehkan pihak berkuasa menahan individu terbabit selama 60 hari tanpa bicara.
Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, saya menegaskan penahanan Michael Jeyakumar (gambar kanan) di bawah Ordinan Darurat merupakan suatu penghinaan terhadap amalan Demokrasi dan Institusi Parlimen negara ini. Beliau selaku Ahli Parlimen yang dipilih berhak menyuarakan hasrat rakyat yang mahukan pilihanraya yang bersih dan adil.
Beberapa hari ini pihak pemerintah cuba memintal fitnah dengan mengaitkan tuntutan Pilhanraya yang bersih dan adil dengan gerakan subversif. Sedangkan sudah beberapa kali Sekretariat BERSIH menegaskan perhimpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai 2011 ini merupakan perhimpunan aman. Malah Sekretariat BERSIH sedaya upaya berbincang dengan pemerintah agar tuntutan berkaitan pilihanraya dapat dilaksanakan. Akan tetapi gesaan dan tuntutan itu ditolak dengan penuh keangkuhan. Sewajarnya pemerintah tidak perlu gentar dengan tuntutan yang berharap membawa kebaikan buat rakyat dan negara Malaysia.
Saya menggesa pemerintah dengan segera membebaskan semua yang ditahan kerana dituduh terlibat dengan Bersih termasuk Jeyakumar Devaraj dan lima yang lain. Saya juga menuntut pemerintah menghormati dan mematuhi prinsip Kedaulatan Undang-Undang serta Perlembagaan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim (gambar kiri, kedua dari kiri) selaku Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan