KENINGAU: Lebih kurang 20 keluarga di Kg. Ria Ulu terancam dengan hakisan tebing sungai Liawan berikutan banjir kilat di kampung itu, baru-baru ini.
Banjir kilat itu berlaku apabila hujan turun berterusam kira-kira lapan jam menyebabkan sungai Liawan naik mendadak.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Keningau, Harry Otigil yang mewakili Ahli Parlimen Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama penduduk kampung membuat tinjauan di kawasan itu berkata, hakisan tebing yang berlaku nyaris-nyaris memusnahkan rumah penduduk yang berhampiran dengan sungai.
Katanya, terdapat rumah penduduk yang hanya beberapa meter lagi terjunam ke dalam sungai.
Walau bagaimanapun katanya, dalam keadaan ini, sesiapa pun tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia berlaku disebabkan bencana alam yang tidak diduga.
“Apa yang penting penduduk harus berjaga-jaga dan berpindah di tempat yang selamat jika ada tanda-tanda banjir akan berlaku sebagai langkah menjaga keselamatan.” katanya selepas meninjau kejadian banjir kilat di kampung itu.
Menurut Harry, masalah hakisan tebing itu telah dikemukakan kepada pihak-pihak atasan yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum ini kata Harry, penduduk telah meminta kepada pihak yang berkenaan agar hakisan tebing sungai itu diatasi.
“Kita berharap tindakan dapat diambil bagi mengatasi masalah hakisan tebing yang dikhuatiri mengancam bukan sahaja rumah dan harta penduduk tetapi juga keselamatan penduduk,” kata Harry.
-NST-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan