KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor mengumumkan bantuan awal kepada mangsa kejadian tanah runtuh Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis dekat Kajang hari ini, antaranya menghantar misi bantuan kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal ke tempat kejadian bagi membantu mangsa terselamat dan ahli keluarga mereka.
Selain itu, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini dan petugas-petugas yang bertungkus-lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.
“Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini,” kata Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.
Selain itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.
“Buat sementara waktu, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, Menteri Besar juga menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini, yang dilaporkan terjadi kira-kira 2.20 petang tadi.
“Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.
“Menteri Besar serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan